Tahun 2025 akan berakhir dengan dua lagi kitaran bumi dan setiap tahun adalah menjadi kewajipan untuk kami terbitkan senarai peranti terbaik sepanjang tahun ini. Tetapi kali ini kami lakukan kelainan dimana setiap editor akan memberikan pendapat peribadi peranti mercu terbaik mereka. Sebab ini dilakukan adalah kerana markah bukan segalanya.
Ada peranti yang diulas awal tahun kurang memuaskan tetapi selepas dikemaskini ia menjadi sangat berbaloi dan wujud juga sebaliknya. Baiklah ini dia senarai daripada editor kami Effi Saharudin, Amy Maizuraa, Nazrin Zain dan Nur Amzari
Kriteria Pemilihan
- Telah diulas atau digunakan oleh kami di Amanz.
- Terbaik dalam kategori masing-masing.
- Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia antara pertengahan Disember 2024 hingga awal Disember 2025
PERANTI MERCU TERBAIK 2025
Honor Magic8 Pro – Amy Maizuraa

Telefon terbaik pilihan saya bagi tahun 2025 ialah HONOR Magic8 Pro. Reka bentuknya kemas, prestasi mantap dan perisian lancar sehingga menjadikannya sebuah peranti yang seimbang. Kamera 200MP Ultra Night Telephoto pula sangat berguna khususnya untuk pengguna yang gemar merakam gambar dalam keadaan kurang cahaya. Selain itu, fungsi zum boleh digunakan dalam pelbagai situasi dan hasilnya tetap konsisten sama ada ketika merakam potret, haiwan ataupun bangunan.
Dalam penggunaan harian pengalaman yang ditawarkan sangat lancar kerana telefon ini dikuasai oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5. Bateri berkapasiti 7100mAh mampu memberikan ketahanan yang panjang manakala sokongan pengecasan pantas 100W memastikan pengguna tidak perlu menunggu lama untuk mengisi semula tenaga peranti. Skrin OLED bersaiz 6.71-inci dengan kadar segar semula 120Hz pula memberikan paparan yang jelas serta selesa sama ada ketika menonton video menatal kandungan ataupun menikmati hiburan lain.
Kesimpulannya HONOR Magic8 Pro merupakan telefon premium yang seimbang dari segi reka bentuk prestasi kamera bateri dan paparan. Peranti ini sesuai untuk pengguna yang menginginkan pengalaman menyeluruh yang menyeronokkan serta berkualiti tinggi.
Spesifikasi: 6.8” LTPO OLED, FHD+, 120Hz, Snapdragon 8 Elite Gen 5 (3 nm) (2×4.6 GHz Oryon V3 Phoenix L + 6×3.62 GHz Oryon V3 Phoenix M), Adreno 840, 12/16GB RAM, storan 256/512/1000GB, 50+200+50 (Utama), 50MP (Swafoto), 7100 mAh (100W), Android 16.
Harga: Bermula RM4,599 (12/512GB)
Huawei Pura 80 Ultra – Nazrin Zain

Huawei Pura 80 Ultra ialah peranti mercu keluaran Huawei pada tahun ini, dan ya, tidak salah untuk mengatakan bahawa peranti ini yang dikuasakan oleh Hisilicon Kirin 9020, memori 16GB dan storan 512GB ini adalah cukup berkuasa dan cantik sekali.
Paparan skrin LTPO OLED yang digunakan juga cukup cerah dan lancar untu tujuan tatalan menu dan aplikasi dan tatapan pelbagai jenis kandungan, dari video di pelbagai perkhidmatan penstriman dan memainkan permua-permua kegemaran anda.
Tetapi bagi saya selling point Utama untuk peranti Huawei Pura 80 Ultra ini hadir melalui modul kamera utamanya. Penggunaan sensor 1/1.28 inci dengan sokongan zum optikal 9.4x dan sehingga 100x melalui zum digital membolehkan anda mengambil gambar dari pelbagai jarak dan tahap pencahayaan.
Saya membawa peranti ini ke percutian di Jepun, dan saya menggunakannya sebagai kamera saya. Ada beberapa rakan sekerja saya yang juga membawa kamera padat mereka sendiri, tetapi jujur saya katakan bahawa kualiti gambar yang diambil dengan Huawei Pura 80 Ultra ini menandingi gambar-gambar yang diambil dengan kamera tersebut
Spesifikasi: 6.8” LTPO OLED, QHD+, 120Hz,Kirin 9020 (7nm) (1 x 2.5GHz Taishan Big, 3 x 2.15GHz Taishan Mid, 4 x 1.6GHz Cortex-A510), Maleoon 920, 16GB RAM, storan 512 GB, 50+40+50+12.5 MP (Utama), 13MP (Swafoto), 5170 mAh (100W), EMUI 15.
Harga: RM6599 (16/128GB)
Vivo X300 Pro – Nur Amzari

Peranti terbaik pilihan saya ialah vivo X300 Pro, terutamanya kerana keupayaan kameranya yang sangat mengagumkan. Kamera APO telefoto 200MP dengan sensor HPB generasi terbaru benar-benar mencuri perhatian, menghasilkan imej yang tajam walaupun pada tahap zum sehingga 10x. Kamera utama dan kamera ultra-lebar juga tidak kurang hebatnya, dengan keupayaan menghasilkan gambar yang konsisten dan berkualiti tinggi dalam pelbagai situasi. Dari sudut prestasi pula, kehadiran cip MediaTek Dimensity 9500 memastikan pengalaman penggunaan harian mahupun permainan berat kekal lancar tanpa sebarang masalah.
Selain itu, aspek rekaan dan paparan turut menjadi kekuatan vivo X300 Pro. Walaupun reka bentuknya tidak berubah secara drastik, badan telefon kini terasa lebih berkotak dengan kemasan matte yang memberi rasa premium, selain berat yang lebih seimbang ketika dipegang.
Skrin menggunakan panel AMOLED LTPO bersaiz 6.78” dengan kadar segar semula 120Hz dan tahap kecerahan sehingga 4500 nits memberikan pengalaman visual bertaraf mercu, sama ada untuk menonton kandungan atau bermain permainan. Paling menarik, siri vivo X300 kini hadir dengan Origin OS, menjadikan pengalaman perisian lebih lengkap dengan animasi yang lebih cantik, pantas dan jauh lebih baik berbanding Funtouch OS sebelum ini.
Spesifikasi: 6.78” LTPO AMOLED, FHD+, 120Hz, Dimensity 9500 (3nm) (1X C1-Ultra 4.21GHz + 3X C1-Premium 3.5GHz + 4X C1-Pro 2.7GHz), Arm G1-Ultra, 16GB RAM LPDDR5X, storan 512GB UFS 4.1, 50+50+200MP (Utama), 50MP (Swafoto), 6510 mAh (90W), Android 16.
Harga: Bermula RM5999 (24/1000GB)
Google Pixel 10 Pro Fold – Effi Saharudin

Anak-anak muda Gen Z gemar menggunakan perkataan “mid” untuk sesuatu yang tidak menakjubkan dan tidak juga gagal. Menggunakan kriteria ini Google Pixel 10 Pro Fold ialah peranti “mid” tetapi dalam situasi ini berada di tengah-tengah tidak membawa konotasi negatif.
Pixel 10 Pro Fold terhimpit di antara Z Fold7 dengan perisian yang lebih baik dan Magic V5 yang dilengkapi bateri jauh lebih besar. Ia menawarkan perisian yang disokong selama 7 tahun, kamera yang terbaik antara ketiga-tiga peranti dan bateri yang mencukupi untuk digunakan sepanjang hari.
Harus diakui dengan harga jualan bermula RM7999 sebuah ia memang agak mahal. Tetapi secara keseluruhan saya rasakan ia tidak mengecewakan. Pixel 10 Pro Fold ialah peranti lipat yang kemas, selesa dan bergaya serta pada lebih penting sekali praktikal berbanding peranti lipat lain di pasaran.
Spesifikasi: 6.4” OLED, 8.0″ OLED 120Hz, Tensor G5 (3nm) (1X Cortex X4 3.78GHz + 5X Cortex-A725 3.05GHz + 2X Cortex-A520 2.25GHz), PowerVR DXT-48-1536, 16GB RAM LPDDR5X, storan 256/512 GB UFS 4.0, 48+10.5+10.8MP (Utama), 20MP (Swafoto Luar), 20MP (Swafoto Dalam), 5015 mAh (30W), Android 16.
Harga: Bermula RM7999 (16/256GB)
PERANTI NILAI TERBAIK 2025
Vivo V60 – Amy Maizuraa

Telefon nilai berbaloi tahun 2025 pilihan saya ialah vivo V60. vivo V60 merupakan telefon kelas pertengahan yang menonjol sepanjang tahun ini. Reka bentuknya ramping dengan ketebalan hanya 7.5 milimeter namun tetap menempatkan bateri besar berkapasiti 6500mAh yang disertakan dengan sokongan pengecasan pantas 90W. Skrin AMOLED bersaiz 6.77 inci pula memberikan paparan yang luas serta jelas sekali gus sesuai digunakan untuk menonton video atau menatal kandungan harian.
Reka bentuknya bergaya dan sistem kamera menjadi tarikan utama. Kamera 50MP ZEISS Super Telephoto menawarkan zum optikal sehingga 10 kali serta sokongan zum digital sehingga 100 kali. Selain itu, mod ZEISS Multifocal Portrait menambahkan variasi dalam rakaman potret. Susunan tiga kamera 50MP+50MP+8MP pula memberikan kebebasan kepada pengguna untuk merakam pelbagai jenis adegan dengan hasil yang konsisten serta berkualiti.
Prestasi harian dilihat konsisten hasil penggunaan cip Snapdragon 7 Gen 4 bersama memori RAM 12GB. Perlindungan IP68 dan IP69 pula memberikan jaminan keselamatan yang lebih baik serta meningkatkan keyakinan pengguna dalam pelbagai keadaan. Kesimpulannya, vivo V60 ialah telefon kelas pertengahan yang berbaloi dalam kelasnya kerana menawarkan gabungan reka bentuk premium, sistem kamera berkualiti tinggi, prestasi meyakinkan serta pengalaman penggunaan yang menyeronokkan setiap hari.
Spesifikasi: 6.77” AMOLED, FHD+, 120Hz, Snapdragon 7 Gen 4 (4 nm) (1×2.8 GHz Cortex-720 & 4×2.4 GHz Cortex-720 & 3×1.8 GHz Cortex-520), Adreno 722, 12GB RAM, storan 256/512GB, 50MP+50MP+8MP (Utama), 50MP (Swafoto), 6500 mAh (90W), Android 15.
Harga: Bermula RM1,899 (12/256GB)
Samsung Galaxy Z Flip7 – Nazrin Zain

Samsung Galaxy Z Flip7 merupakan peranti pintar boleh lipat pertama yang saya uji dan ulas, dan pada pendapat saya, ia merupakan sebuah peranti yang sangat sesuai untuk mereka yang mahu mengurangkan kebergantungan kepada peranti pintar dan juga mencuba sesuatu yang baru.
Dikuasakan oleh cip pemprosesan Samsung Exynos 2500, Samsung Galaxy Z Flip7 mempunyai paparan dalaman bersaiz 6.7 inci dan paparan luaran FlexScreen bersaiz 4.1 inci yang kini memenuhi kawasan luaran rangka peranti, dengan kamera dwi-lensa diatasnya.
Dengan penggunaan perisian Good Lock yang boleh dimuat-turun melalui gedung aplikasi Samsung Store, anda boleh menggunakan semua aplikasi-aplikasi lain seperti YouTube, GMail dan sebagainya semua tanpa masalah menggunakan skrin yang lebih kecil ini.
Pengubahsuaian tambahan juga boleh dibuat seperti penggunaan aplikasi widget untuk melihat calendar dan jadual-jadual khusus pada peranti anda tanpa perlu membuka paparan utama. Dalam pada itu, ia juga mempunyai ekosistem bersukan dan kesihatan yang paling lengkap sekali berbanding dengan jenama-jenama lain, dan ekosistem aksesori tambahan yang sangat dijaga rapi.
Spesifikasi: 6.9” Dynamic AMOLED 2X 120Hz, 4.1″ SAMOLED 120Hz, Exynos 2500 (3nm) (1 x 3.3GHz Cortex-X5 + 2 x 2.74GHz Cortex-A725 + 5 x 2.36GHz Cortex-A725 + 2 x 1.8GHz Cortex-A520), Xclipse 950, 12GB RAM LPDDR5X, storan 256/512 GB UFS 4.0, 50+12MP (Utama), 10MP (Swafoto), 4300 mAh (25W), Android 16.
Harga: Bermula RM4999 (12/256GB)
Apple iPhone 17 – Nur Amzari

Peranti nilai terbaik pilihan saya ialah iPhone 17, satu pilihan yang pada awalnya tidak saya jangka. Namun selepas melihat penawaran keseluruhannya, iPhone 17 tampil sebagai peranti yang benar-benar lengkap. Ia dikuasakan oleh cip A18 yang masih berprestasi tinggi walaupun bukan yang paling berkuasa dalam barisan Apple, namun cukup untuk memastikan pengalaman penggunaan harian kekal lancar.
Dari segi ketahanan bateri, peranti ini mampu bertahan sehingga sehari penuh dengan sokongan pengecasan yang kini lebih pantas. Sistem kameranya juga masih relevan dan berkualiti, menampilkan dua lensa 48MP serta kamera swafoto dengan sensor baharu yang hadir bersama ciri Center Stage, yang boleh dianggap sebagai satu penambahbaikan besar.
Apa yang paling mencuri perhatian ialah kehadiran skrin 120Hz ProMotion Display, yang akhirnya dibawa ke model asas dan memberikan pengalaman visual yang jauh lebih lancar. Faktor harga turut memainkan peranan penting, apabila Apple mengekalkan harga pada RM3,999 untuk storan 256GB, menjadikannya satu tawaran yang berbaloi dalam segmen peranti premium. Atas sebab-sebab inilah iPhone 17 dipilih sebagai peranti dengan nilai terbaik, terutamanya bagi pengguna yang mahukan keseimbangan antara prestasi, ciri dan harga dalam ekosistem Apple.
Spesifikasi: 6.3” Super Retina XDR OLED, 120Hz, Apple A19 (3nm) (2 x 4.26GHz + 4 x 2.6GHz), Apple GPU, 8GB RAM, storan 256/512GB, 48+48MP (Utama), 18MP (Swafoto), 3692 mAh (60W), iOS 26.
Harga: Bermula RM3999 (8/256GB)
Xiaomi 15T Pro– Effi Saharudin

Mencari nilai terbaik pada tahun 2025 ialah sedikit sukar kerana semua pengeluar berlumba-lumba menawarkan peranti dengan spesifikasi mantap, kamera menakjubkan, bateri besar dan harga yang masih mampu milik. Selepas melihat parameter ini, saya memilih Xiaomi 15T Pro.
Xiaomi 15T Pro dilengkapi cip Dimensity 9400+ yang walaupun bukan paling berkuasa masih lagi dalam kategori mercu. Skrin besar 6.83″ bukan sahaja menyokong Dolby Vision tetapi juga mempunyai kadar segar semula 144Hz.
Bateri 5500 mAh yang disertakan cukup besar untuk bertahan sepanjang hari dengan pengecasan pantas. Sistem tri-kamera yang digunakan pula dilengkapi lensa Leica. Pada harga bermula RM2699 ia adalah “peranti Leica” paling mampu milik di pasaran. Ini pada hemat saya menawarkan nilai terbaik pada tahun 2025.
Spesifikasi: 6.83” AMOLED, 144Hz, Dimensity 9400+ (3nm) (1×3.63 GHz Cortex-X925 & 3×3.3 GHz Cortex-X4 & 4×2.4 GHz Cortex-A720), Immortalis-G925, 12GB RAM LPDDR5X, storan 256/512/1000 GB UFS 4.1, 50+12+50MP (Utama), 20MP (Swafoto Luar), 32MP (Swafoto Dalam), 5500 mAh (90W), Android 16.
Harga: Bermula RM2699 (12/256GB)
GADGET PILIHAN 2025
CMF Headphone Pro – Amy Maizuraa

Gadget pilihan saya tahun ini ialah CMF Headphone Pro. Saya menggunakannya hampir sepanjang masa ketika bekerja kerana ia menawarkan gabungan harga yang berpatutan dengan ciri yang bermanfaat. Teknologi Pembatalan Bunyi Aktif (ANC) memudahkan saya menyekat bunyi persekitaran sekali gus membantu mengekalkan fokus. Bateri pula tahan lama sehingga tidak menimbulkan kebimbangan kehabisan bateri, malah saya jarang perlu mengecas.
Dari segi reka bentuk, headphone ini dilihat bergaya dengan warna segar yang sesuai dengan gaya anak muda. Untuk penampilan lebih menonjol, pad telinga boleh ditukar kepada warna jingga seperti yang saya lakukan. Harga tidak terlalu tinggi namun kualiti tetap memadai dalam kategori pertengahan. Ringkasnya, CMF Headphone Pro seimbang kerana menawarkan fungsi yang baik, reka bentuk menarik serta harga yang bersesuaian.
Spesifikasi: 40mm Custom Dynamic Driver (PEN+PU, Nickel-plated), Hybrid ANC (sehingga 40dB), Mod Transparensi, Bluetooth 5.4 (LDAC, AAC, SBC), Bateri 720 mAh (sehingga 100 jam tanpa ANC / 50 jam ANC), IPX2
Harga: Bermula RM429
Starlink Mini – Nazrin Zain

Saya berpeluang untuk cuba menggunakan perkhidmatan internet satelit Starlink Mini dan selain daripaad mengujinya di dalam bandar, saya juga sempat mencubanya di sebuah kawasan terpencil di Hulu Langat.
Berbeza sedikit dengan Starlink V4 yang digunakan sebelum ini, Starlink Mini hadir dengan fungsi penghala WiFi yang terbina, dan kini tidak lagi memerlukan peranti penghala tambahan untuk menyambungkan banyak peranti ke perkhidmatan internet satelit ini.
Jika anda sudah tahu bagaimana untuk memasang dan menyesuaikan satelit ini untuk mendapatkan sambungan satelit yang optimum, anda boleh menyambungkan piring Starlink ini ke rangkaian internet dalam masa kurang dari 10-15 minit tanpa masalah. Sama seperti piring satelit V4, ia juga hadir dengan ciri kalis cuaca, jadi anda boleh membiarkan piring ini di dalam hujan dan gunakan sambungan internet anda tanpa sebarang kerisauan.
Spesifikasi: 298.5 x 259 x 38.5 mm (1.1 kg), Electronic Phased Array (110° FOV), Wi-Fi 5 (802.11ac) Dual Band 3×3 MIMO, Kelajuan Muat Turun >100 Mbps, Liputan sehingga 112 m², 1x Port Ethernet (LAN), Kuasa 25-40W (Purata), Input DC 12-48V (Sokongan USB-PD 100W min), IP67 (Antena), IP66 (Bekalan Kuasa).
Harga: Bermula RM930 (Kit Mini) / Langganan bermula RM129/bulan
Nothing Ear (3) – Nur Amzari

Sebagai gadget terbaik, Nothing Ear (3) menonjol dengan penawaran audio yang seimbang dan berkualiti tinggi. Ia dilengkapi driver dinamik 12mm yang mampu menghasilkan bunyi yang natural, jelas dan mempunyai ruang bunyi yang luas. Dari segi ketahanan bateri, fon telinga ini mampu digunakan sehingga 5 jam tanpa ANC, dan mencecah 38 jam apabila digabungkan dengan bekas pengecasan, menjadikannya sesuai untuk penggunaan harian yang panjang.
Prestasi Active Noise Cancellation (ANC) Nothing Ear (3) juga sangat memuaskan, terutamanya untuk penggunaan dalam pengangkutan awam seperti LRT Kelana Jaya, di mana bunyi persekitaran dapat dikurangkan dengan ketara. Ciri paling unik ialah Super Mic yang terbina pada bekas pengecasan, memberikan pengalaman seakan menggunakan mikrofon tanpa wayar ketika membuat panggilan. Kualiti audio daripada Super Mic ini juga lebih baik jika dibandingkan dengan mikrofon pada earbuds itu sendiri, sekali gus menambah nilai praktikal kepada Nothing Ear (3).
Spesifikasi: Pemandu audio 12 mm dinamik, 3 mikrofon, ANC, sambungan bluetooth 5.4, Codec AAC/SBC/LDAC, bateri 55mAh fon telinga (sehingga 38 jam tanpa ANC / 22 jam ANC), bateri 500mAh kerangka, kalis air IP54.
Harga: RM759
Lenovo Legion Go 2 Z2 Extreme – Effi Saharudin

Lenovo Legion Go 2 Z2 Extreme ialah konsol Windows mudah alih terbaik tahun ini. Dalam pasaran yang kini dipenuhi dengan penawaran oleh MSI, ASUS dan Valve, Legion Go 2 berjaya menawarkan keunikan tersendiri menerusi skrin OLED yang paling besar untuk sebuah konsol mudah alih. Ini dipadankan pula dengan cip AMD Ryzen Z2 Extreme yang membolehkan permainan mercu dimainkan pada tetapan sederhana.
Bateri sehingga 5 jam menjadikan perjalanan balik kampung sempena Krismas tempoh hari tidak lagi membosankan. Saya sempat bermain COD Warzone MP dengan tenang ketika terperangkap antara Ipoh dan Taiping kerana kesesakan lalulintas.
Ciri paling menarik dam menjadikan “LeGo 2” unik pastinya dua alat kawalan sisi yang boleh ditanggalkan. Konsol boleh disambungkan kepada TV dan saya duduk di sofa dengan alat kawalan di tangan. LeGo 2 menjadi pengganti kepada PC gaming saya sejak beberapa bulan lalu. Saya dapat menikmati best of both worlds menerusi LeGo 2. Setelah 11 tahun bersara menjadi seorang PC Gamer, LeGo 2 berjaya menarik saya kembali daripada kekal menjadi pemain PS5 secara eksklusif.
Spesifikasi: 8.8” WUXGA OLED (1920 x 1200), 144Hz VRR, AMD Ryzen Z2 Extreme (4nm) (8-teras & 16-bebenang, sehingga 5.0 GHz), AMD Radeon 890M (RDNA 3.5), 32GB RAM LPDDR5X-8000, storan 512GB/1TB PCIe Gen4 SSD, Tiada Kamera Utama, Bateri 74Wh (65W), Windows 11 Home.
Harga: Bermula RM5,279 (32/512GB)






