Peranti Honor Di Malaysia Mula Menerima MagicOS 10 Berasaskan Android 16
Effi Saharudin
Honor hari ini mengumumkan peranti di Malaysia mula menerima kemas kini sistem operasi MagicOS 10 berasaskan Android 16. Ini adalah sistem operasi yang digunakan pada Honor Magic8 Pro yang dilancarkan di Malaysia tahun lalu.

Walau bagaimanapun, pihak Honor Malaysia tidak berkongsi senarai peranti dan tarikh ia akan menerima MagicOS 10. Di China, peranti gelombang pertama menerima kemas kini MagicOS 10 adalah Magic V5, Magic6 Supreme Edition, Magic7 RSR | Porsche Design, Magic6 Pro, Magic7 Pro, Magic6, Magic7, 400 Pro, GT Pro, 400, Magic6 RSR | Porsche Design, dan MagicPad3
Antaramuka MagicOS 10 diinspirasikan daripada konsep Liquid Glass seperti yang dilihat pada peranti iPhone. Ia turut mempunyai ciri sambungan rentas peranti (cross-brand) turut dipertingkatkan untuk pengalaman lebih menyeluruh. Kini, pengguna boleh memindahkan gambar, video, dokumen, jadual dan kenalan antara peranti Honor, iPhone dan Mac dengan hanya satu sentuhan.
Fungsi seperti pengisian automatik kod pengesahan, penyelarasan mesej serta sambungan ke Apple Watch turut mendorong kepada keselesaan penggunaan. Selain itu, sambungan ke TV turut dimudahkan dengan kandungan dapat dipaparkan serta-merta hanya melalui arahan suara. Sistem AI Call Anti-Fraud pula boleh kenal pasti penipuan melalui suara termasuk penyamaran seperti panggilan palsu yang menjadikan penggunaan lebih selamat.






