Peranti AI Jony Ive dan Sam Altman Mungkin Tiba 2027 Dengan Rekaan Seakan iPod Shuffle
May 23, 2025
•
Effi Saharudin
Semalam OpenAI mengumumkan ia akan mengambil alih firma peranti kecerdasan buatan io milik Sir Jony Ive. Ini dilihat sebagai satu lagi petanda OpenAI bersedia melancarkan perkakasan pertama mereka yang akan menggantikan telefon pintar seperti yang diuar-uarkan sebelum ini. Penganalisa terkemuka Ming-Chi Kuo hari ini mengatakan peranti AI ini akan tiba sewal 2027.

Beliau mengatakan dari segi saiz ia lebih besar daripada Humane AI Pin tetapi dengan rekaan elegan serta kompak seperti iPod Shuffle. Sungguhpun begitu rekaan akhir mungkin berubah sebelum pengeluaran dimulakan dua tahun lagi. Menurut Kuo lagi peranti ini hanya dilengkapi kamera dan mikrofon.
Ia kemudiannya boleh disambungkan kepada telefon pintar dan komputer pemilik bagi menggunakan kuasa memproses serta skrin apabila diperlukan. Pemilik boleh menggantungkannya di leher seperti beberapa peranti AI lain di pasaran.
OpenAI nampaknya melihat terdapat pasaran untuk perkakasan fizikal AI di masa hadapan walaupun peranti keluaran Humane dan Rabbit sebelum ini kedua-duanya gagal mendapat sambutan. Arah yang diambil OpenAI juga berbeza dengan Samsung, Google, Apple dan Meta yang merasakan peranti AI ialah dalam bentuk cermin mata pintar.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.