Philips Malaysia mengumumkan pelancaran pendingin hawa Air Series Ab1 baharu dengan dua pilihan teknologi iaitu ‘inverter’ dan ‘non-inverter’. Siri ini direka untuk memenuhi keperluan pengguna yang mementingkan keseimbangan antara kecekapan tenaga dan prestasi penyejukan yang konsisten.

Siri Air Series Ab1 hadir dengan empat model iaitu FAC09CB (1HP), FAC12CB (1.5HP), FAC18CD (2HP) dan FAC24CD (2.5HP). Setiap model menawarkan penarafan tenaga sehingga lima bintang dengan kapasiti penyejukan antara 9,730 hingga 24,200 BTU/h bergantung pada pilihan. Unit dalaman beroperasi serendah 24db manakala unit luaran sekitar 49 hingga 56db sekali gus memberikan suasana lebih selesa untuk pengguna.

Siri ini menawarkan enam ciri utama yang meningkatkan keselesaan pengguna. Pertama, teknologi Self Clean yang membersihkan bahagian dalaman secara automatik supaya aliran udara sentiasa segar. Kedua, Turbo Cooling yang menyejukkan ruang dalam masa 30 saat untuk kelegaan cepat. Seterusnya, SmartCare QR Hub memudahkan urusan servis, jaminan dan pengesanan masalah dalam satu akses pantas.

Selain itu, Multi-Functional Composite Filter menapis habuk serta bakteria bagi memastikan udara lebih bersih. Sleep Mode pula beroperasi dengan senyap sambil menyesuaikan suhu untuk tidur yang lebih selesa. Akhir sekali, teknologi High-Efficiency Full DC Inverter khusus untuk model Inverter memberikan penyejukan lebih pantas dan kecekapan lebih tinggi.

Untuk harga, siri Inverter ditawarkan pada harga runcit antara RM1,599 hingga RM3,949 bergantung kepada kapasiti, manakala harga promosi pelancaran bermula daripada RM1,299 hingga RM3,449. Sementara itu, siri non-inverter pula dijual pada harga runcit antara RM1,499 hingga RM3,299 dengan harga promosi pelancaran bermula daripada RM1,199 hingga RM2,799.
Kesemua model disertakan dengan jaminan umum selama tiga tahun serta jaminan sepuluh tahun khusus untuk pemampat. Selain itu, Philips turut menyediakan pilihan sama ada penghantaran sahaja atau penghantaran bersama pemasangan bagi memudahkan pelanggan dengan caj tambahan yang jelas.






