Pembukaan Laluan LRT 3 Kini Ditangguh Ke Q2 2026 Pula
Effi Saharudin
Yang sudah beberapa kali tertangguh kini ditangguh lagi selepas sumber dalaman mengatakan pembukaan laluan Perkhidmatan LRT 3 atau nama rasminya LRT laluan Shah Alam kini hanya akan dilakukan pada Q2 2026 menurut laporan The Star. Ini ialah penangguhan daripada tarikh 31 Disember yang diumumkan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada bulan lalu.

Kelewatan adalah disebabkan oleh masalah dihadapi ketika ujian sistem dilakukan untuk pentauliahan. Trend didapati gagal mengekalkan kelajuan operasi 80–90 km/j secara konsisten serta dokumentasi dan SOP kritikal masih belum dimuktamadkan lagi. Akibatnya sasaran trend setiap 6 minit tidak dapat dipenuhi bagi memenuhi sasaran kekerapan dan kapasiti laluan.
LRT laluan Shah Alam ialah perkhidmatan rel transit keempat di Lembah Kelang dengan ia akan dikendalikan oleh Rapid KL. Laluan akan mempunyai 25 stesen yang buat pertama kalinya terletak di luar sempadan Bandaraya Kuala Lumpur. Ia menghubungkan stesen Bandar Utama di Petaling dengan stesen Johan Setia di Klang.
Pembinaan laluan ini menelan belanja RM21.93 billion yang adalah lebih rendah berbanding kos anggaran asal RM31.65 billion semasa diluluskan pada tahun 2015. Apabila beroperasi kelak ia mampu membawa sehingga 39,260 penumpang setiap jam.






