Pecutan Pertama Honda e:N1 – Mampukah Ia Bersaing Dengan EV Lain ?
Ikhwan Nazri
Dicelah-celah pelbagai kereta elektrik di pasaran, Honda Malaysia mencelah dengan menawarkan kereta elektrik mereka iaitu Honda e:N1. Dengan rekaan yang boleh dikatakan menyerupai Honda H-RV, ini merupakan percubaan kali kedua Honda Malaysia menawarkan kereta elektrik, selepas Honda e yang pertama kali ditawarkan beberapa tahun lalu namun mungkin terlalu awal, dan kurang dilihat di jalan raya.

Dengan hadirnya Honda e:N1, mampukah Honda mencabar pasaran kereta elektrik tempatan yang kini dipelopori jenama dari China? Saya berkesempatan untuk menyertai konvoi media yang menampilkan e:N1 bersama-sama HRV dan CRV kedua-duanya dalam versi RS eHEV dari Kuala Lumpur ke Ipoh.
Sama macam HRV, Lain dari HRV

Dari segi rekaan, Honda e:N1 memang sekali pandang bagaikan HRV yang dimuatkan dengan bateri, namun dengan beberapa elemen rekaan yang membezakan HRV petrol dan ‘HRV’ elektrik. Di bahagian hadapan disebalik logo Honda terletaknya palam pengecasan yang boleh dibuka dengan automatik dengan butang yang terdapat diluar. Sebaik anda dapat melihat palam pengecasan ini, akan terserlah tulisan Honda dalam rekaan yang digunakan pada siri kereta elektrik mereka. Terdapat juga lampu yang akan menyala apabila pengecasan sedang dilakukan.

Di bahagian lampu dan tepi, sememangnya tidak jauh perbezaan antara e:N1 dan HRV. Hanya bahagian hadapan dan belakang kereta ini yang menampilkan tulisan jenama Honda dalam gaya tulisan berlainan, melambangkan sifat elektrik yang ada padanya. Ia mempunyai ruang bagasi sebesar 344 liter dan tiada ruangan ‘frunk’ di bahagian hadapan.


Dari segi rekaan dalaman, ia mempunyai paparan pemanduan bersaiz 15-inci dan paparan inforia yang cukup besar dan signifikan, menampilkan status bateri, tambatan Apple CarPlay atau Android Auto, dan juga kawalan penyaman udara. Pengasingan informasi ini membolehkan maklumat kuasa elektrik akan sentiasa terpapar untuk pemandu. Stereng pemanduan pula tidak jauh bezanya dengan SUV Honda yang lain, dan jika anda pernah menggunakan SUV Honda versi hibrid, iaitu RS e:HEV anda pasti sudah biasa akan penggunaan tuil / paddle shifters bagi mengubah tahap pembrekan janaan semula.
Mampu Mengejar Konvoi Pantas

Untuk acara konvoi media ini saya berkesempatan memandu Honda e:N1 sekitar 100km di Lebuhraya Utara Selatan. Meskipun tampak singkat jarak yang dilalui, namun boleh dikatakan kuasa pecutan yang diberikan oleh Honda e:N1 ini agak baik. Dengan kuasa 150 kW dan 310Nm tork maksimum, memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat, ia mampu memecut dan mengikuti HRV dan CRV dengan mudah, namun dihambat oleh had lajunya iaitu 160 km/j. Pada had laju sebegini, perasaan saya sama ketika saya mengulas Mercedes Benz EQB 250 yang turut mempunyai had laju maksimum 160 km/j kerana untuk kenderaan elektrik, kelajuan maksimum ini dapat dicapai dengan pantas, kemudian dirasakan kereta tidak dapat memecut dengan lebih laju.
Dengan tiga mod pemanduan, saya dapat rasakan beza pecutan untuk sentiap mod, dan juga pembrekan janaan semula yang ditetapkan mengikutnya. Namun dengan adanya paddle shifters, ia turut memberikan lebih kawalan kepada pemandu dalam menetapkan pembrekan yang mereka mahukan.

Paparan Informasi Tenaga Yang Berlainan Dari Yang Lain
Dari segi paparan informasi, pada paparan bersaiz 15-inci ini memberikan ruang sekitar 35% untuk maklumat pemanduan elektrik. Anda boleh melihat status penggunaan tenaga, berapa baki jarak perjalanan, status dan aliran tenaga elektrik, dan bermacam lagi. Sekiranya anda pengguna siri hibrid Honda yang sedia anda, paparan sebegini adalah tidak asing untuk anda, dimana anda dapat melihat sekiranya anda sedang menggunakan tenaga elektrik, atau anda sedang menjana semula tenaga, dan ia juga jelas sekali dipaparkan dalam grafik tersebut. Lebih menarik lagi ia turut memaparkan jarak tambahan berdasarkan corak pemanduan anda sekiranya anda mematikan penyaman udara. Ini satu fungsi yang jarang dilihat pada kereta elektrik yang lain, namun biasanya boleh dilancarkan apabila kapasiti bateri di tahap rendah.



Dari segi penggunaan tenaga, Honda e:N1 menggunakan pengiraan km/kWh dan angka yang saya dapat adalah
- Pada bateri 50%, jarak perjalanan berbaki 177km dengan purata kelajuan konvoi sekitar 110 km/j
- Setibanya di Ipoh, baki bateri adalah sebanyak 33% dengan jarak perjalanan berbaki 111km dengan jarak perjalanan dari Kuala Lumpur adalah sebanyak 211.8km
- Purata penggunaan tenaga adalah 5.2 km / kWh atau bersamaan 19.2 kWh / 100 km
- Dalam perjalanan pulang dari Ipoh ke Kuala Lumpur, saya sempat menggunakan kereta ini untuk sekitar 100km +, dengan purata penggunaan tenaga 5.6 km / kWh atau bersamaan 17.9 kWh / 100 km


Untuk perjalanan dari KL ke Ipoh, kereta bertukar tangan antara media, dan melalui situasi jalan yang berlainan iaitu lebuhraya, jalan persekutuan dari Tanjung Malim hingga Gopeng, dan juga jalan bandar Ipoh dipandu saya. Untuk perjalanan balik dari Ipoh ke KL, kereta yang saya dan rakan media gunakan melalui perjalanan di Lebuhraya Utara Selatan. Pada kadar penggunaan tenaga 17.9-18.9 kWh / 100km, boleh dikatakan ia dipandu agak laju berbanding corak pemanduan biasa, namun tidak sekalipun kami ketinggalan jauh mahupun merasai kegusaran pengecasan.
Honda e:N1 yang mempunyai bateri sebesar 68.8 kWh mempunyai jarak perjalanan sekitar 412 WLTP. Pada kiraan tersebut, ia berhampiran dengan pelbagai kereta elektrik yang lain antaranya Proton e.MAS 7, Leapmotor C10, dan Smart #1 Brabus. Untuk jarak tersebut saya rasakan yang mungkin kereta elektrik ini lebih bersesuaian kegunaannya didalam bandar, tapi masih berkebolehan digunakan untuk perjalanan antarabandar selagi mana terdapat pengecas dalam perjalanan. Pengecasan pantas DC 78kW membolehkan pengecasan 10-80% dalam masa 45 minit akan tetapi sewaktu sesi pemanduan ini saya tidak berkesempatan mencuba pengecasannya.

Pada harga RM 149,900, boleh dikatakan Honda e:N1 mempunyai harga yang lebih premium, dan ia juga merupakan satu-satunya Honda yang pada masa ini diimport dari luar negara (CBU) berbanding penawaran kereta Honda yang lain yang dipasang di Malaysia (CKD). Ia ditawarkan dengan jaminan selama 8 tahun atau 160,000KM perbatuan, tertakluk yang mana satu dahulu.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






