PC Dengan Snapdragon X Dikemaskini Untuk Menambah Baik Sokongan Permainan Video
Effi Saharudin
Komputer riba dengan cip siri Snapdragon X adalah berkuasa dengan kemampuan AI yang tinggi. Tetapi berdasarkan pengalaman kami di Amanz, sokongan permainan video masih lagi kurang memuaskan pada Windows on Arm. Hari ini beberapa kemas kini diberikan oleh Windows dan Qualcomm bagi menjadikan Windows on Arm platform lebih baik untuk permainan video.

Perisian baharu Snapdragon Control Panel akan mengesan permainan secara automatik pada PC dengan cip siri Snapdragon X. Ia kemudiannya melakukan tetapan paling optima untuk permainan supaya ia berjalan dengan lancar.
Menerusi perisian yang sama, kemas kini perisian pemandu GPU Adreno juga boleh dilakukan untuk menyokong permainan terkini. Qualcomm berkata mereka telah menambah baik sokongan lebih 100 permainan video sejak peranti Snadragon X dilancarkan awal tahun ini.
Perisian pengolokan Microsoft Prism kini turut menyokong x86 Advanced Vector Extensions (AVX) yang diperlukan oleh permainan video dan aplikasi yang tidak natif dengan cip Arm. Turut dikemaskini ialah aplikasi Xbox kini membenarkan permainan yang menyokong ARM64 dimuat turun pada peranti Windows on Arm. Sebelum ini ia sekadar menyokong penstriman permainan Xbox sahaja.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






