Seperti yang sedia maklum, Netflix sedia mengambil-alih platform penstriman Warner Bros. Discovery yang terdiri daripada Warner Bros Television, Warner Bros Motion Picture Group, DC Studios, HBO dan HBO Max pada nilai $82.7 bilion (RM 340 bilion) dalam bentuk stok dan juga bayaran tunai.
Tidak lama kemudian, Paramount-Skydance pula membida sebanyak $108.4 bilion (~RM 447 bilion) untuk mengambil-alih keseluruhan syarikat tersebut, tetapi pihak lembaga syarikat telah memberitahu pemilik saham untuk tidak memilih tawaran Paramount.
Terkini, ia telah dilaporkan bahawa pihak Paramount-Skydance, melalui Ketua Pegawai Eksekutif mereka, David Ellison telah memfailkan saman terhadap Warner Bros. Discovery (WBD) kerana menolak tawaran pembelian mereka, dan memilih tawaran Netflix.

Surat kepada pihak pelabur telah dikeluarkan, dan ia menyatakan bahawa saman telah difailkan di Mahkamah Delaware Chancery kerana WBD tidak menunjukkan butiran tawaran dari pihak Netflix, dan bagaimana Paramount boleh memberi tawaran balas yang munasabah untuk mengambil-alih syarikat tersebut.
Paramount mengatakan tawaran mereka untuk mengambil-alih keseluruhan perniagaan tersebut adalah jauh lebih baik berbanding apa yang ditawarkan Netflix, dimana mereka hanya mahukan sebahagian daripada perniagaan tersebut.






