Malaysia Oversight

Pandang Pertama Samsung Galaxy Z Fold7 – Nipis, Ringan, Berkuasa

By Amanz in July 9, 2025 – Reading time 6 minute
Pandang Pertama Samsung Galaxy Z Fold7 – Nipis, Ringan, Berkuasa


Samsung Galaxy Z Fold7 dilancarkan di Brooklyn New York awal pagi ini dan seperti biasa media di Malaysia diberikan akses awal menggunakan peranti skrin lipat generasi ke-7 Samsung. Apakah yang menarik kali ini dan adakah yang ditawarkan Samsung mampu memberikan persaingan kepada apa yang ditawarkan oleh Oppo, Honor, Huawei, Tecno, dan Xiaomi? Ini pandang pertama saya.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Z Fold7
Skrin Luar – 6.5″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz Dalam – 8″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz HDR10+
Pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy (3nm)
Cip 2X 4.47 GHz Oryon V2 Phoenix L  6X 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M
Cip Grafik Adreno 830
RAM 12/16GB LPDDR5X 8GB RAM Plus
Muatan Dalaman 256/512/1000 GB UFS 4.0
Kamera Utama 200MP f/1.7 OIS, (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 10MP, f/2.4, OIS 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Swafoto 10MP f/2.2 (Luar) 10MP f/2.2 (Dalam)
Bateri 4400 mAh Pengecasan berwayar 25W Pengecasan nirwayar 12W Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/Telefoni 2 Nano, 1 eSIM 5G
NFC Ya
Bicu Audio Tiada
Kalis Air IP48
Sistem Imbasan Pengimbas cap jari sisi
Harga Jualan RM 7,799 (12/256 GB) RM 8,399 (12/512 GB) RM 9,899 (16/1000 GB)

SKRIN dan REKAAN

Dalam lima iterasi sebelum ini, Samsung secara perlahan-lahan memberikan skrin yang semakin lebar selepas menerima komen mengenai skrin luaran yang terlalu tirus. Pada Fold7 ia mencapai bentuk akhirnya seperti Frieza dengan ia kini sama lebar seperti Oppo Find N5 dan Magic V3. Proses menaip pada skrin luar kini lebih selesa berbanding Fold6.

Sungguhpun begitu ia masih belum sepenuhnya sama dengan nisbah skrin pada S245 Ultra misalnya. Skrin luar kini 6.5″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz berbanding 6.3″ pada model Fold6 dengan ia menyokong kadar segar semula 120Hz. Kaca tahan lasak Corning Gorilla Glass Ceramic 2 digunakan pada skrin luar ini.

Samsung Galaxy Z Fold7 N

Skrin dalam membesar ke 8″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz berbanding 7.6″ tahun lalu membuatkan skrin dalam kelihatan lebih berkotak. Tahun tiada lagi sistem kamera bawah skrin 4MP dengan lubang kamera dikembalikan dilengkapi kamera 10MP. Bukan kamera UDC sahaja lesap, sokongan S-Pen juga akhirnya pupus dengan wakil Samsung mengatakan ini kerana ia ciri yang tidak digunakan majoriti pengguna Fold.

Garisan lipatan semakin sukar dilihat dengan Samsung mengatakan rekaan engsel Armor Flex Hinge dan struktur bawah skrin diubah bagi mendapatkan skrin paling tegang dihasilkan. Masih ada garisan tetapi ia tidak lagi ketara. Lapisan UTG tahun ini juga 50% lebih nipis.

Samsung Galaxy Z Fold7 J skrin Lipat

Z Fold7 turut melepasi piawaian IP48 bagi memberikan kemampuan kalis air serta debu. Tahun ini Samsung kalah kepada Honor yang menawarkan Magic V5 dengan kemampuan kalis air serta debu IP59.

Estetik tubuh berkotak tahun lalu dikekalkan sekali lagi. Dua minggu lalu saya sempat ke Bangkok dan telah menggunakan Galaxy S25 Edge. Perasaan nipis dan ringan tetapi masih terasa premium S25 Edge dapat dirasakan pada tubuh Z Fold7. Ia seakan dua S25 Edge diletakkan bersebelahan. Proses membuka skrin juga mudah kerana sisi rata yang digunakan. Tidak ada keperluan untuk mengupil dua “sayap” skrin seperti yang berlaku apabila menggunakan Honor Magic V3 tahun lalu.

Samsung Galaxy Z Fold7 G

Samsung mengatakan ia nipis. Tetapi nipis macam mana? Ia setebal 4.2mm dalam keadaan terbuka dan 8.9mm dalam keadaan dilipat. Ini meletakkannya hanya 0.1mm lebih tebal berbanding Magic V5. Walaupun ia peranti boleh lipat, Z Fold7 hanya seberat 215 gram yang lebih ringan berbanding S25 Ultra yang seberat 218 gram. Satu kejayaan kejuruteraan yang harus diberikan pujian kerana sejak sekian lama peranti Fold dikritik berat dan tebal berbanding peranti jenis candybar,

Kemasan panel belakang Gorilla Glass Victus 2  dan sisi peranti adalah kusam yang membuatkan ia tidak memerangkap kotoran dengan mudah dan juga kurang licin. Butang kuasa dan laras suara masih lagi diletakkan pada “pintu” kanan dengan butang kuasa juga merangkap pengimbas cap jari. Walaupun tubuh semakin nipis, tapak tangan dan jari tidak terasa sakit memegang peranti atau menggunakan butang. Cuma saya agak terkini pengimbas cap jari masih di butang kuasa sedangkan Vivo sudah menawarkan dua pengimbas jari bawah skrin pada siri X Fold.

Samsung Galaxy Z Fold7 M

Pada bahagian atas pintu kiri terdapat kekisi audio dengan rekaan alur nipis. Elemen dari siri S25 Edge digunakan semula pada Z Fold7. Di bahagian bawah pintu kiri diletakkan sebuah lagi alur untuk kekisi audio. Ini adalah bagi memastikan audio stereo yang seimbang dapat dihasilkan. Pada bahagian bawah pintu kanan pula terdapat port pengecasan USB-C. Tubuh Z Fold7 amat nipis, ia hanya sedikit sahaja lebih besar berbanding lubang pengecas.

Samsung Galaxy Z Fold7 Q

Tiga kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP OIS, 12MP ultra sudut lebar dan 10MP telefoto sehingga 3X optikal. Pada skrin dalam terdapat kamera swafoto 10MP dan di skrin luar pula kamera swafoto 10MP dalam lubang skrin. Perubahan hanya dilakukan pada kamera utama 200MP dan kamera swafoto 10MP yang kini bukan lagi 4MP UDC.

Samsung Galaxy Z Fold7 C

Bonggol kamera adalah amat tinggi dan saya rasakan lebih tinggi berbanding ketebalan tubuh. Akibatnya peranti tidak boleh diletakkan rata di atas permukaan meja. Pembelian kerangka kini menjadi semakin wajib. Sungguhpun besar, bonggol tidak menyebabkan peranti “berat kepala” sehingga tidak seimbang apabila dipegang. Tubuh model tahun ini mengekalkan kemampuan kalis air serta debu IP48. Sedikit lebih rendah berbanding Magic V5 yang melepasi IP59.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Samsung Galaxy Z Fold7 One UI 8 Android 16

Sistem operasi One UI 8 berasaskan Android 16 digunakan. Ini menjadikan Z Fold7 bersama Z Flip7 dan Z Flip7 FE peranti pertama dilancarkan dengan Android 16. Perisa Android 16 yang diberikan sama seperti yang digunakan pada Pixel 9 Pro XL kerana masih tiada elemen antaramuka Material 3 Expressive. Antaramuka One UI masih digunakan dengan beberapa perubahan kecil.

Samsung Galaxy Z Fold7 I

Peranti beroperasi dengan lancar dibantu oleh pemproses Snapdragon 8 Gen Elite, memori sehingga 16GB RAM LPDDR5x dan storan sehingga 1TB UFS 4.0. Masih terdapat ciri seperti menyambung tontonan dari skrin luar ke dalam, melihat peranti untuk menonton video hanya pada sebelah skrin, multi window tiga aplikasi serentak dan taskbar pada bahagian bawah yang memudahkan proses multi tugas.

Semua ciri-ciri Galaxy AI seperti Translate, Writing Assist, Sketch Assist, Now Bar, Now Brief dan Circle to Search turut disertakan sekali. Yang baharu ialah Google Gemini dan Gemini Voice boleh diseru menggunakan butang kuasa.

Samsung Galaxy Z Fold7 Flip7 C

Bercakap mengenai RAM, ciri RAM Plus boleh menambah memori sehingga 8GB secara maya. Ia boleh dimatikan jika pemilik tidak mahu sebahagian storan diambil untuk menambah RAM. Terdapat juga pilihan hanya menambah 2, 4, dan 6 GB RAM maya.

Samsung Galaxy Z Fold7 Skrin Luar

Kekuatan Samsung masih lagi terletak pada perisian. Seperti siri Galaxy S25, Galaxy Z Fold7 dan juga Galaxy Z Flip7 akan menerima sokongan 7 kemas kini versi sistem operasi serta tampalan sekuriti selama 7 tahun yang jauh lebih lama berbanding pengeluar peranti Android lain kecuali Google.

KESIMPULAN

Samsung Galaxy Z Fold67 adalah lebih ringan, lebih lebar, lebih besar, kamera lebih baik dan lebih ringan berbanding Z Fold yang terdahulu. Penantian selama enam tahun untuk perubahan besar akhirnya berlaku di saat pesaing mereka semakin berani berinovasi dan memberikan spesifikasi yang lebih tinggi.

Pertaruhan Samsung tahun ini masih lagi diletakkan pada perisian. Ia peranti pertama menggunakan Android 16 dengan kemampuan Galaxy AI yang diperkenalkan pada siri S25 Ultra awal tahun ini. Inilah strategi yang dipilih oleh Samsung.

Samsung Galaxy Z Fold7 E

Persaingan dalam kategori peranti skrin boleh lipat semakin sengit dengan Oppo Find N5 awal tahun ini menjadi peranti yang perlu dikalahkan dan seminggu lagi Honor Magic V5 pula memasuki pasaran Malaysia. Kedua-duanya kelas mercu tetapi dengan kamera lebih baik, kamera lebih baik dan pengecasan lebih pantas.

Dengan harga jualan bermula RM7799 (12/256GB), Samsung Galaxy Z Fold7 ialah peranti lipat yang premium yang hanya mampu dikalahkan oleh Mate XT sahaja dari sudut harga. Ini masih RM500 lebih mahal berbanding model dengan RAM dan storan sama tahun lalu. Impak Tarif ke atas peranti luar Amerika Syarikat kini dapat dilihat dengan jelas.

Bagi peminat Samsung, inilah peranti lipat terbaik yang mereka hasilkan tahun ini. Jika anda tiada kesetiaan pada jenama, harus saya katakan apa yang ditawarkan Oppo dan Honor nampak lebih menarik. Samsung harus lebih serius melakukan inovasi besar pada peranti mereka jika ingin kekal kompetitif dalam pasaran peranti lipat global.

Pro

  • Rekaan lebih nipis dan ringan tetapi masih selesa dalam tangan.
  • Skrin luar dan dalam lebih besar.
  • Spesifikasi tinggi kelas mercu.
  • Kamera lebih berkuasa.
  • Kalis air IP48
  • Sokongan 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti.

Kontra

  • Tiada lagi sokongan S-Pen
  • Bateri masih 4400 mAh.
  • Pengecasan masih sekadar 25W.
  • Harga naik lagi.



Source link