Malaysia Oversight

Pandang Pertama Realme GT8 Pro – Bonggol Kamera Boleh Tukar  

By Amanz in November 18, 2025 – Reading time 5 minute
Pandang Pertama Realme GT8 Pro – Bonggol Kamera Boleh Tukar  


Realme tidak ketinggalan memperkenalkan peranti mercu sebelum berakhirnya tahun ini. Melaluinya, mereka membawa masuk realme GT8 Pro yang dijadualkan tiba di pasaran tempatan pada 24 November akan datang. Sementara menunggu pelancarannya, kami kongsikan pandang pertama peranti ini sebagai penilaian awal sebelum ulasan penuh diterbitkan kelak.

realme GT8 Pro Edited 2

Rekaan Dan Skrin

Pandangan awal saya mendapati pengalaman memegang GT8 Pro berbeza daripada model GT7 sebelum ini. Meskipun hadir dengan saiz yang lebar kali ini realme memilih rekaan tubuh yang sepenuhnya berkotak dan rata.

Hal ini berbeza dengan GT7 Pro yang juga lebar tetapi mempunyai tubuh melengkung khususnya pada bahagian sisi. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa memegang GT8 Pro hampir menyerupai pengalaman memegang peranti versi Pro sewaktu era iPhone 13.

realme GT8 Pro Edited

Ia sememangnya lebar dan besar, namun masih selesa untuk digenggam. Pengalaman yang diberikan juga sama seperti sewaktu saya mengulas Oppo Find X9 Pro tempoh hari.

Seperti yang pernah saya katakan, keadaan ini tidak mengejutkan kerana kebanyakan pengeluar kini cenderung memilih rekaan tubuh rata dengan alasan lebih mudah dikendalikan serta digunakan.

Dari sudut pengguna pula, ia memudahkan carian pelindung skrin dan memberikan pengalaman menonton video yang lebih baik memandangkan tiada isu paparan melimpah ke tepi seperti pada skrin melengkung.

realme GT8 Pro Edited 3

Seterusnya, realme turut mengubahsuai sepenuhnya kemasan panel belakang dengan penggunaan bahan organosilicon leather yang apabila disentuh terasa seperti kulit lembut kertas. Rekaan ini memang kelihatan kemas, namun pada pendapat saya ia mungkin tidak sesuai untuk semua orang khususnya mereka yang agak ‘clumsy’.

Hal ini kerana permukaan itu didapati mudah rosak apabila terkena objek tajam seperti pin tudung atau kuku. Pun begitu, ia sekadar pandangan awal saya dan belum dapat dipastikan ketahanannya untuk kegunaan jangka panjang.

realme GT8 Pro Edited 9

Apa yang boleh saya nasihatkan ialah menggunakan kerangka percuma yang disertakan dalam kotak pembelian. Namun, kerangka tersebut berwarna hitam yang pastinya menutupi warna asal peranti. Selain itu, kerangka ini juga dirasakan sama seperti model GT7 sebelum ini kerana menggunakan bahan silikon lembut yang mudah memerangkap kotoran khususnya jika anda sering menggunakan alat solek.

realme GT8 Pro Edited 5

Sorotan utama terletak pada kebolehan bonggol kamera yang boleh ditukar ganti. Oleh sebab itu, realme menamakan inovasi ini sebagai Switchable Camera Bump, sekali gus menjadikannya antara yang pertama menawarkan konsep sebegini.

Untuk setiap pembelian, pengguna secara lalai akan menerima realme GT8 Pro dengan bonggol kamera berbentuk bulat di dalam kotak manakala pratempahan pula difahamkan turut disertakan dengan satu set tambahan casing bonggol kamera bagi membolehkan pertukaran dilakukan.

realme GT8 Pro Edited 7

Set yang saya terima turut disertakan dengan bonggol kamera berbentuk segi empat, sekali gus memberi peluang untuk saya mencuba pertukaran. Bagi tujuan ini, pengguna memerlukan pemutar skru khusus jenis T4 Torx Screwdriver untuk membuka skru yang mencantumkan bonggol pada tubuh peranti.

realme GT8 Pro Edited 6

Proses membuka skru adalah sama seperti biasa namun perlu dilakukan dengan berhati-hati agar skru asal tidak hilang. Cubaan saya menukar bonggol bulat kepada segi empat tidaklah sukar malah terasa menyeronokkan.

Meskipun begitu, konsep ini semestinya bergantung pada pendapat masing-masing kerana ia bersifat subjektif yang sudah pastinya ada yang menyukainya dan ada juga yang sebaliknya.

Susun atur butang pada peranti ini menyerupai kebanyakan model realme yang lain. Di bahagian kanan, ia menempatkan butang kuasa serta laras audio, manakala di bahagian bawah pula terdapat port USB-C, pembesar suara dan slot kad SIM.

Sementara itu, bahagian kiri tampil minimalis tanpa sebarang butang atau port. Di bahagian atas, peranti turut dilengkapi infra merah bersama satu lagi pembesar suara, sekali gus menjadikan sistem audionya sejenis stereo.

realme GT8 Pro Edited 4

Turut diberikan perhatian ialah sistem kamera yang masih menggunakan Teknologi HyperImage+ seperti model tahun lalu. Langkah ini semestinya bertujuan meningkatkan prestasi fotografi bagi menghasilkan gambar yang lebih baik. Namun begitu, hasil dan prestasi sebenar hanya akan dikongsikan dalam artikel ulasan akan datang.

Pada masa yang sama, aspek paling menarik adalah kerjasama realme bersama RICOH. Ini merupakan kali pertama mereka bekerjasama dengan pengeluar kamera sekali gus menunjukkqn fokus utama telefon ini adalah pada fotografi jalanan.

realme GT8 Pro Edited 8

Skrin digunakan merupakan panel AMOLED rata bersaiz 6.79″ dengan resolusi 2K serta kadar segar semula 144Hz. Peningkatan ini jelas pada aspek resolusi dan kadar segar semula memandangkan realme GT7 Pro sebelum ini hanya menggunakan skrin 1.5K pada 120Hz. Justeru, prestasi ditawarkan semestinya diharapkan lebih baik. Malah seperti kebanyakan peranti mercu realme yang lain, ia mampu memberikan pengalaman memuaskan dari segi paparan skrin.


Perkakasan Dan Perisian Dalaman

Realme GT8 Pro dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 iaitu cip terkini daripada Qualcomm. Cip ini menawarkan peningkatan prestasi yang lebih baik khususnya dalam aspek kecekapan tenaga, kelajuan pemprosesan dan pengendalian grafik.

Ia sekali gus menjadi pencabar kepada beberapa peranti lain seperti Oppo Find X9 Pro (Dimensity 9500), vivo X300 Pro (Dimensity 9500) dan RedMagic 11 Pro (Snapdragon 8 Elite Gen 5). Ujian penanda aras AnTuTu dijalankan menunjukkan peranti berada di bawah OnePlus 15 dan Find X9 Pro. Namun begitu, ia masih berada di atas 17 Pro yang menggunakan cip A19 Pro.

Cip Skor
realme GT8 Pro 3,066,488
OnePlus 15 3,720,096
Oppo Find X9 Pro 3,472,342
17 Pro 2,634,345

Dari segi perisian, Realme UI 7 berasaskan Android 16 digunakan pada peranti. Sebahagian besar ciri terbina telah dioptimumkan sebaiknya, di samping membenarkan pengguna menetapkan ciri mengikut keperluan. Antara muka ini juga menyerupai apa yang ditawarkan pada ColorOS 16 dan OxygenOS 16. Walaupun nampak cantik, tidak dapat dinafikan ia turut mengambil inspirasi daripada Nothing dan .

realme UI 7 001

Realme UI 7 turut disertakan dengan pelbagai ciri AI termasuk AI Mind Space membolehkan pengguna menyimpan nota dan maklumat penting secara automatik. Terdapat juga ciri lain yang hampir sama seperti Realme UI 6 termasuk AI Planner untuk mengenal pasti acara daripada skrin dan memasukkannya ke dalam kalendar, serta AI Notify Brief yang seakan-akan Now Brief daripada Samsung kerana mampu menjana ringkasan notifikasi melalui gabungan maklumat seperti acara kalendar dan tugasan penting.

realme UI 7 002

Tidak ketinggalan, Realme UI 7 turut menawarkan AI Search, AI Translate, AI VoiceScribe, AI Camera, AI Smart Loop serta AI Service Engine sekali gus menjadikan pengalaman penggunaan lebih menyeluruh.


Kesimpulan

Itu sahaja perkara yang dapat dikongsikan buat masa ini. Ulasan penuh mengenai prestasi serta hasil gambar peranti akan diterbitkan dalam artikel ulasan akan datang. Pada pandangan saya, konsep tukar bonggol kamera ini tidaklah sepenuhnya boleh dianggap sebagai gimik. Dari segi logiknya, mungkin ada yang teruja untuk mendapatkannya namun saya berpendapat ‘hype’ tersebut tidak akan bertahan lama.

realme GT8 Pro Launch Date KV 1 1

Untuk makluman, realme juga telah membuka pratempahan awal untuk siri ini, yang merangkumi dua versi iaitu GT 8 Pro standard dan GT 8 Pro Dream Edition. Tempoh pratempahan awal bermula sekarang sehingga 28 November dan pelanggan awal berpeluang menerima hadiah eksklusif bernilai RM1197.

Tawaran ini merangkumi rebat tunai sebanyak RM200, realme Watch 5, set pelindung kamera untuk model standard, promosi pembelian dengan pembelian (PWP) bagi realme Buds Clip serta jaminan lanjutan selama satu tahun.



Source link