Beberapa hari yang lepas siri vivo X300 baharu sahaja dilancarkan untuk pasaran China, peranti itu dilengkapi dengan sistem operasi terbaru dari vivo iaitu OriginOS 6. Jika anda tidak tahu, sebelum ini OriginOS hanya ekslusif untuk peranti vivo di pasaran China namun OriginOS 6 kali ini ia telahpun diumumkan untuk pasaran global pada hari ini. Kami sudah mencuba sendiri menggunakan OriginOS 6 pada vivo X200 Pro untuk melihat beberapa pembaharuan dan perbezaan dengan Funtouch OS sebelum ini. Untuk ketahui lebih lanjut, teruskan membaca artikel ini.

Semakin Lancar Dengan Pelbagai Kesan Dan Animasi
OriginOS memperkenalkan era baharu untuk reka bentuk gerakan dengan gabungan elemen semulajadi yang memberikan pengalaman yang sangat lancar. Sebagai contoh adalah Spring Animation. Ini adalah animasi yang menggunakan kesan melantun seakan spring, ia terasa lebih ringan pada antaramuka justeru meningkatkan lagi tindak balas sentuhan dan membuatkan pengalaman menjadi lebih lancar. Anda dapat melihat animasi ini ketika ingin membuka sesuatu aplikasi atau mengakses sesuatu di dalam aplikasi.

Selain itu, OriginOS ini juga mempunyai animasi baharu ketika mengecas dan mengimbas cap jari yang dinamakan Morphing Animation. Ia menggunakan simulasi cecair bersama pembiasan cahaya untuk untuk menciptakan pengalaman yang interaktif dan memberikan pengguna rasa dinamik serta futuristik.

Dalam penggunaan harian, pengoptimuman kuasa pengkomputeran juga memberikan peningkatan yang ketara kepada pengalaman pengguna. vivo memperkenalkan ciri yang memberikan responsif segera dalam senario kritikal dengan memfokuskan keperluan harian pengguna. Ia dapat ditunjukan dengan kelajuan respons sentuhan aplikasi yang meningkat kepada 41%.
Origin Design
Reka bentuk “Origin” kali ini membawa rombakan lengkap dari dalam ke luar, termasuk paparan berpotongan, carta data dan ikon simbol yang tersedia pada semua model, di samping mempertingkatkan bahan dan pencahayaan. Salah satu benda yang terbaru adalah pilihan font sistem vivo Sans yang mengambil inspirasi dari tipografi tradisional dan direka untuk paparan digital. vivo juga turut membina semula lebih 2800 simbol dan ikon untuk kelihatan lebih tajam walaupun dengan saiz yang kecil. Pengguna juga mempunyai pilihan untuk mengubah berat dan saiz untuk font serta simbol terbaru ini.

Selain font dan simbol, vivo turut memperkenalkan Dynamic Glow iaitu tekstur terbaru untuk antaramuka yang bermain dengan elemen cahaya untuk memberikan visual yang lebih immersif. Elemen Gradient Blur dan Real-Time Blur turut digunakan bersama Space System ini. Elemen ini memberikan transisi yang semula jadi sekaligus menjadi salah satu cara terbaik untuk menunjukkan kedalaman dalam rekaan antaramuka.

Antara tema terbaru untuk kunci skrin adalah Flip Cards. Tema ini akan berubah kepada visual yang lain apabila anda memusingkan peranti. Ia menggunakan sistem gyroscope peranti untuk memberikan interaksi menarik melalui gambar-gambar yang digunakan. Pengguna boleh mengunakan Live Photos dan video yang berdurasi sekurang-kurangnya satu saat. Ciri ini memberikan satu kelainan yang menyeronokkan untuk pengguna.

Kini pengguna juga boleh mengubah bentuk jam pada kunci skrin dengan lebih bebas mengikut kreativiti. Jam boleh diubah kedudukannya secara bebas untuk disesuaikan dengan kebanyakan kertas dinding. Jadi sama ada ingin mengubah bentuk, font, saiz atau warna semuanya bergantung kepada pengguna. Kunci skrin ini juga menyokong pelbagai widget seperti cuaca, suhu, tahap bateri dan suhu untuk membuatkannya lebih interaktif disamping kelihatan menarik.

Origin Island
Origin Island adalah sistem pulau untuk penyampaian maklumat. Ia direka untuk menyediakan pengguna dengan cadangan pintar yang tepat, bernas dan dapat memberikan respons yang cepat. Sebagai contoh ketika memainkan aplikasi muzik, Origin Island akan terus memberikan informasi melalui kapsul terapung tanpa perlu ke aplikasi muzik itu.

Terdapat beberapa ciri baharu melalui Origin Island ini seperti Copy & Go dan Drag & Go. Ciri Copy & Go boleh digunakan apabila Origin Island mengesan teks yang diserlahkan dan akan memberikan beberapa cadangan aplikasi untuk digunakan. Contohnya seperti nombor telefon dan Origin Island akan berikan cadangan untuk menghubungi atau menghantar mesej. Drag & Go pula lebih kurang seperti Copy & Go namun ia lebih spesifik kepada kandungan seperti gambar, video atau fail untuk dipindahkan kepada beberapa aplikasi pada Origin Island.

Ciri AI
Tidak akan lengkap sesuatu telefon pintar pada tahun 2025 ini dengan ciri kecerdasan buatan (AI). Dengan ciri AI pada OriginOS ia menjadikan peranti dari vivo sebuah mesin yang sangat cekap dan boleh dipercayai sama ada untuk tugasan yang mudah atau tugasan seharian yang padat.
Dalam aplikasi seperti Document dan Notes ia telah dimuatkan dengan beberapa alat penulisan AI yang digelar AI Creation. Dengan bantuan AI ini kini pengguna boleh untuk membuat ringkasan, memanjangkan atau singkatkan ayat, menterjemah dan pembetulan tatabahasa. Turut disediakan juga beberapa template untuk pengguna seperti brainstorming, work summaries dan pelbagai lagi.

AI Captions boleh membantu pengguna yang sering bermesyuarat atas talian dengan menawarkan beberapa kemudahan secara secara terus seperti speech-to-text, terjemahan dan juga ringkasan.

Seamless Connectivity
Jika anda seorang pengguna yang menggunakan sistem operasi yang berlain dalam kehidupan seharian, ekosistem vivo boleh memberikan aliran yang lancar merentasi semua peranti sekaligus membolehkan anda menukar peranti bila-bila masa tanpa masalah. Sebagai contoh pengguna boleh menghantar fail dan gambar ke iPhone dengan mudah menggunakan aplikasi EasyShare

Pengguna juga boleh menyambung peranti dengan komputer Mac dengan aplikasi Office Kit. Ciri ini memberikan pengguna beberapa fungsi yang berguna seperti screen mirroring untuk mengawal telefon anda pada komputer. Free transfer yang membolehkan pengguna menghantar fail dengan mudah. Task handoff pula dapat membantu untuk menyambung kerja yang dilakukan dari telefon terus ke komputer. Terdapat juga Notes Sync dan Notes multi device collaboration. Notes Sync membolehkan anda menggunakan kamera pada telefon dan terus boleh bersambung dengan komputer tanpa sebarang sambungan yang pelik atau memasang pemandu yang berasingan. Sementara itu,notes multi-device collaboration membolehkan pengguna meluahkan idea yang datang pada mana-mana peranti yang terdekat kemudian boleh menyusun semula pada komputer secara terus.

Keselamatan Dan Privasi
Pada OriginOS ini vivo telah memperkenalkan jenama keselamatan tersendiri iaitu vivo Security. Strategi utama vivo Security ini adalah memastikan keselamatan data dan juga perlindungan privasi penting pengguna tidak akan berkecamuk antara satu sama lain. Salah satu ciri menarik untuk vivo Security ini adalah Private Space. Dengan ciri ini, pengguna dapat menyimpan fail atau data yang berharga di dalam tempat yang berlainan. Jadi tiada keriasauan jika anda ingin meminjamkan telefon kepada rakan atau menghantarkan untuk dibaiki kerana semua data-data pengguna masih lagi terjaga dan selamat.

Kesimpulan
Setelah sekian lama para pengguna global menunggu ketibaan OriginOS ini, akhirnya ia menjadi kenyataan dengan pelancaran OriginOS 6. Sistem operasi ini lengkap dengan pelbagai ciri-ciri menarik untuk para penggunanya. Ia juga memberikan pengalaman yang lebih dekat dengan kehidupan manusia dengan menggunakan rekaan dan animasi berkonsepkan alam semulajadi.
Latar Masa Kemaskini
vivo juga telah kongsikan latar masa kemaskini untuk beberapa peranti vivo dan iQOO yang mendapat kemaskini OriginOS 6 pada masa akan datang.

Awal November 2025
- vivo X200 Pro
- vivo X200
- vivo X200 FE
- vivo X Fold5
- iQOO 13
- vivo V60
Pertengahan November 2025
- vivo X Fold3 Pro
- vivo X100 Pro
- vivo X100
- iQOO 12
Pertengahan November 2025
- vivo V60e
- vivo V50
- vivo V50e
- iQOO Neo 10
- iQOO Neo 10R
- iQOO Neo9 Pro
Awal Tahun 2026
- vivo X90 Pro
- vivo X90
- siri vivo V60
- siri vivo V50
- siri vivo V40
- siri vivo V30
- siri vivo Y400
- siri vivo Y300
- siri vivo Y200
- siri vivo Y100
- iQOO 11
- siri iQOO Z10
- siri iQOO Z9






