Malaysia Oversight

Pandang Pertama iQOO 15 – Pencabar Baharu Peranti Mercu

By Amanz in November 26, 2025 – Reading time 4 minute
Pandang Pertama iQOO 15 – Pencabar Baharu Peranti Mercu


iQOO 15 hadir ketika pasaran dibanjiri dengan pelbagai telefon pintar berkelas mercu yang menarik. Masing-masing menawarkan kelebihan tersendiri dalam usaha menarik perhatian sasaran pengguna. Begitu juga dengan iQOO 15 yang pada pandangan awal dilihat cukup seimbang dari segi penawaran.

iQOO 15 social post 4

Reka Bentuk

iQOO 15 sekali lagi meneruskan tradisi siri ini yang bukan sahaja menekankan aspek prestasi, malah hadir dengan rekaan luaran yang menawan. Hal ini membuktikan bahawa kualiti binaannya sama sekali tidak terjejas, bahkan kali ini terasa lebih ringan.

Peranti ini masih mengekalkan DNA yang hampir sama seperti pendahulunya dengan rekaan rata pada bahagian hadapan serta bingkai aluminium berkilat yang melengkung seperti iQOO 13. Bagaimanapun, kaca melengkung mikro di bahagian belakang kini telah digantikan sepenuhnya dengan rekaan rata sekaligus menjadikannya lebih kemas dan selesa untuk digenggam.

iQOO 15 social post 2

Pandangan awal saya mendapati bahawa tidak kira bagaimana ia dipegang, peranti ini terasa agak licin. Namun demikian, bingkai sisinya masih mampu memberikan cengkaman yang lebih selamat. Selain itu, panel belakangnya sekurang-kurangnya tidak mudah memerangkap kotoran cap jari sedangkan perkara yang sama tidak dapat dikatakan pada bingkai. Saya turut berpendapat pengalaman memegang peranti terasa sama seperti memegang vivo X300 Pro dan Oppo Find X9 Pro malah saiz juga hampir menyerupai sepenuhnya.

IQOO 15 002

Pada pandangan pertama, kemasan warnanya kelihatan cukup menarik. Unit yang saya gunakan ialah berwarna Grey dengan kemasan cerun yang mengambil inspirasi daripada cat lukisan yang berubah antara tona merah dan perak (silver) apabila terkena cahaya. Sementara itu, kesan pencahayaan gradien tersebut memberikan rekaan yang tersendiri berbanding varian lain khususnya apabila warna merahnya memancar seperti lava api yang sedang membara.

DSC08230 1

Setakat penggunaan singkat ini, saya mendapati panel belakang yang berubah warna memberikan penampilan rekaan yang menarik. Warna-warnanya seolah-olah berubah mengikut sudut cahaya sehingga peranti kelihatan lebih hidup. Bagi saya, ciri ini bukan sekadar hiasan malah menambah rasa menarik kerana setiap kali memandang peranti akan terpancar kilauan warna yang berbeza mengikut cahaya.

iQOO 15 social post 3

Meskipun tiada lagi gelung lampu LED besar, susunan kameranya berbeza namun masih mengekalkan reka bentuk bonggol kamera yang serupa seperti sebelum ini. Bonggol tersebut berbentuk segi empat sama yang besar serta agak tebal. Selain itu, terdapat penjenamaan 100X Tele Lens yang menandakan kemampuan zum sehingga 100 kali. Menariknya, bonggol kamera kali ini nampak lebih unik kerana dikelilingi oleh pencahayaan LED RGB yang dinamakan Dynamic Light.

iQOO 15 social post 1

Berbeza dengan sebelum ini apabila lampunya menyala menghadap keluar, kali ini pencahayaan direka menyala di sekeliling tepi bonggol kamera. Fungsi pencahayaan ini boleh ditetapkan melalui ruang tetapan dan akan menyala sama ada ketika telefon dihidupkan ataupun semasa proses pengecasan. Selain itu, ia turut berfungsi sewaktu menerima panggilan masuk, notifikasi, memainkan muzik, perkongsian mudah (Easy Share), penggunaan NFC serta paparan tahap bateri.

Kesan pencahayaan boleh dipilih dalam bentuk Heartbeat Flowing, Pulsing serta beberapa lagi kesan lain. Di samping itu, pengguna berpeluang menukar warna dan tahap kecerahan melalui pilihan Atmosphere Light Effect sekali gus menjadikan keseluruhan pengalaman lebih peribadi serta menarik.

iQOO 15 MY 01 1

Peranti ini turut dilengkapi dengan IR Blaster yang terletak di bahagian atas bingkai. Selain itu, ia juga menyokong NFC, yang membolehkan pengguna melakukan pembayaran tanpa sentuh dengan lebih mudah serta mengawal peranti rumah pintar misalnya.

Sementara itu, pembaca cap jari dalam skrin yang digunakan mampu mengesan jari dengan lebih pantas, dan kedudukannya juga mudah dicapai. Selain itu, susunan butang serta port lain masih mengekalkan rekaan seperti biasa dengan butang kuasa dan kawalan audio di bahagian kanan. Di bahagian bawah pula terdapat slot SIM, port USB-C serta pembesar suara utama.


Cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 + Supercomputing Chip Q3

iQOO 15 dikuasai oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 iaitu cip paling berkuasa daripada Qualcomm untuk peranti Android ketika ini. Dalam ujian penanda aras Antutu yang dijalankan di makmal Amanz, peranti ini mencatatkan markah tertinggi setakat ini. Keputusan tersebut sekali gus mengatasi realme GT8 Pro dan OnePlus 15 yang menggunakan cip sama, Oppo Find X9 Pro dengan Mediatek Dimensity 9500 serta 17 Pro yang hadir dengan cip A19 Pro.

Cip Skor
IQOO 15 3,726,305
OnePlus 15 3,720,096
Oppo Find X9 Pro 3,472,342
realme GT8 Pro 3,066,488
17 Pro 2,634,345
IMG 5229 edited

Prestasi sebenar tentunya tidak hanya bergantung pada nombor semata-mata sebaliknya penggunaan dalam dunia nyata. Dalam pengalaman singkat saya, ujian awal menunjukkan prestasi yang baik sewaktu menatal tanpa sebarang kelewatan atau gangguan, dan hasilnya terasa memuaskan.

Hal ini tidak mengejutkan kerana peranti yang menjalankan cip terkini semestinya mampu memberikan prestasi seperti yang diharapkan. Setakat ini, iQOO 15 memperlihatkan prestasi yang meyakinkan, dan peranti ini akan terus diuji dengan lebih lanjut untuk menilai kemampuannya dari masa ke semasa.

IMG 5228

Sorotan seterusnya ialah sokongan Supercomputing Chip Q3 binaan iQOO sendiri dikatakan mampu meningkatkan keupayaan grafik pada peranti. Cip ini dipadankan dengan Snapdragon 8 Elite Gen 5 dan direka khusus untuk memperkukuh prestasi grafik serta pengalaman paparan. Ia bukanlah bertujuan menggantikan cip utama sebaliknya berfungsi sebagai pemproses sekunder bagi tugasan grafik sekali gus memberikan keseimbangan antara kuasa dan kelancaran.

IMG 5227

Dalam permainan seperti Genshin Impact, prestasi kekal lancar tanpa gangguan dengan kadar bingkai yang stabil walaupun ketika adegan penuh aksi. Paparan kelihatan tajam malah menariknya IQOO 15 mampu mencapai sehingga 120FPS sekali gus membuktikan kehebatan cip Q3 meskipun permainan ini secara asasnya hanya menyokong maksimum 60FPS.

Dari segi visual, grafik nampak cantik dengan warna yang menyerlah namun kesan ‘ghost’ pada pergerakan karakter jelas kelihatan. Pun begitu, pengalaman keseluruhan masih mengagumkan dengan paparan warna yang impresif.


Kesimpulan

Pengalaman singkat ini menunjukkan bahawa iQOO 15 mampu memberikan persaingan sengit kepada beberapa peranti mercu sedia ada. Penawarannya juga kelihatan menarik melalui keseimbangan untuk penggunaan harian. Buat masa ini, harga jualan masih belum diketahui, namun sekiranya ia ditawarkan pada julat yang hampir sama dengan model sebelumnya, iQOO 15 berpotensi menjadi pencabar yang menarik dalam pasaran.



Source link