Oppo Menafikan Dakwaan Mereka Terlibat Mencuri Rahsia Apple Watch
Effi Saharudin
Hujung minggu lalu Apple memfailkan saman ke atas seorang bekas kakitangan yang kini bertugas di Oppo. Dalam writ saman yang difailkan, Apple turut menuduh Oppo menggalakkan bekas kakitangan tersebut untuk mencuri sebanyak mungkin rahsia teknologi Apple Watch yang sedang dibangunkan Apple sebelum kembali ke China.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada MacRumors, Oppo menafikan dakwaan yang dilontarkan oleh Apple. Menurut Oppo, mereka tidak menemui sebarang bukti yang mengaitkan dakwaan Apple dan kelakuan pekerja semasa bekerja di Oppo. Oppo turut menjelaskan mereka menghormati rahsia perdagangan semua syarikat, termasuk Apple, dan tidak menyalahgunakan rahsia dagangan Apple. Oppo akan bekerjasama secara aktif dengan proses undang-undang, dan yakin prosiding kehakiman yang adil akan menjelaskan fakta.
Kakitangan yang disaman kini bekerja di Oppo dengan beliau menggunakan alasan ingin pulang ke China untuk menjaga ibu bapa yang sudah berusia.Sebelum berhenti daripada Apple, beliau memuat turun 63 fail daripada folder Apple ke dalam pemacu USB. Kemudian beliau melakukan carian di internet bagaimana memadam MacBook dan sama ada tindakan melihat fail daripada pemacu yang dikongsi boleh dikesan oleh orang lain.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.