OpenAI Dan Oracle Menandatangani Perjanjian Untuk Membina Pusat Data Stargate Dengan 2 Juta Cip AI
July 24, 2025
•
Nazrin
OpenAI telah mengumumkan projek pusat data Stargate Project pada awal tahun ini, iaitu projek pembangunan infrastruktur AI untuk Amerika Syarikat yang bernilai $500 bilion. Ia akan dikepalai oleh OpenAi dengan bantuan pelbagai syarikat pelaburan dan teknologi AI yang lain seperti Softbank dan Oracle.
Terkini, OpenAI telah mengumumkan pembangunan sebuah lagi pusat data bersama-sama Oracle, kini dianggarkan akan tampil dengan keperluan kuasa setinggi 4.5GW dan akan menggunakan sebanyak 2 juta cip pemprosesan AI.
Pembangunan pusat data Stargate baru ini dikatakan sedikit berbeza dengan perjanjian pembinaan pusat data yang diperlihatkan pada awal tahun ini. Dalam perjanjian tersebut, OpenAI, Softbank, MGX dan Oracle akan mencari dana dan menubuhkan 20 pusat data dengan pelaburan $500 bilion dalam tempoh empat tahun. Tapak Stargate 1, lokasi pusat data Stargate pertama adalah di Abilene, Texas.

Infrastrukur Stargate Project yang diumumkan pada awal tahun ini dijangka akan memerlukan 10GW kuasa elektrik untuk menguasakan bukan sahaja pusat data dan mesin pelayan didalamnya, tetapi juga untuk rangkaian internet dan pelbagai infrastruktur lain.
Untuk projek yang baru diumumkan ini, OpenAi mengatakan ia akan menambahakan keperluan untuk 4.5GW kuasa elektrik untuk menguasakan 2 juta cip pemprosesan AI tambahan. Seperti yang sedia maklum, Stargate Project yang diumumkan pada awal tahun ini akan menggunakan khidmat cip pemprosesan AI NVIDIA Blackwell Ultra yang menggunakan 1.4kW kuasa untuk setiap kad grafik.
Ia tidak diketahui lagi jika Stargate Project terbaru ini akan menggunakan kad grafik tersebut ataupun NVIDIA Rubin Ultra yang akan menggunakan 3.4kW kuasa, yang dijangka akan dilancarkan pada tahun 2027.
OpenAI mengatakan juga bahawa pembukaan pusat data baru ini akan menjana 100 ribu pekerjaan baru bukan sahaja dari segi pembangunan dan operasi pusat data, tetapi juga dari segi sektor tenaga yang akan diperlukan untuk menguasakan pusat data tersebut.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.