OnePlus 15 Kini Di Malaysia Pada Harga RM4399 – Hadir Bersama Snapdragon 8 Elite Gen 5, Bateri 7300mAh
Aman
OnePlus hari ini secara rasminya telah memperkenalkan OnePlus 15 untuk pasaran global, termasuk Malaysia, sekaligus membuka jualannya untuk pasaran tempatan. Di Malaysia, model 16GB RAM bersama 512GB storan ditawarkan pada harga RM4399.

OnePlus 15 hadir bersama skrin 6.78-inci AMOLED dengan kadar segar semula mencapai 165Hz – menjadikan ia antara pertama di dunia dengan sokongan panel seumpamanya pada telefon pintar. Panel skrin berkenaan turut menyokong kadar kecerahan minima mencapai 1-nit – yang dikatakan memberikan keselesaan ketika digunakan pada waktu malam.

Menguasakan telefon pintar ini adalah cip Snapdragon 8 Elite Gen 5, menjadikan ia antara peranti terawal di Malaysia dengan cip mercu terbaru berkenaan. OnePlus 15 menyertakan bateri 7300mAh dengan sokongan pengecasan 120W SuperVOOC.
Pada bahagian kamera, ia menggunakan sensor Sony 50MP sebagai sensor utama, dipadankan bersama sensor 50MP ultra-lebar dan 50MP telefoto. Pada bahagian hadapan, ia menyertakan sensor 32MP. Tiada lagi penjenamaan Hasselblad pada kamera seperti sebelum ini.
OnePlus 15 juga menawarkan sokongan kalis air dan debu IP69K, selain menyertakan sokongan Bluetooth 6.0, WiFi 7, dan juga NFC. Pada bahagian tepi peranti, OnePlus telah menggantikan slider yang ikonik dengan jenama OnePlus kepada sebuah butang pintas yang boleh disesuaikan dengan aplikasi atau ciri yang ingin diakses.

Bagi anda yang berminat, boleh mendapatkan OnePlus 15 ini melalui laman rasmi Oppo Malaysia pada harga RM4399. Pembelian terawal turut ditawarkan dengan Oppo Enco Buds 3 dan juga kerangka luaran OnePlus 15.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






