Di sekolah dahulu kita diajar penyakit demam denggi dan malaria disebarkan oleh nyamuk betina yang memindahkan virus ke tubuh manusia semasa menghisap darah. Berdekad lamanya kita diajar hanya nyamuk betina menghisap darah manusia dan haiwan untuk hidup. Kajian terkini daripada Pennsylvania State University mendapati ia kini bukan lagi fakta selepas menemukan beberapa spesis nyamuk jantan yang juga menghisap darah.

Penemuan ini dilakukan secara tidak sengaja oleh penyelidik yang melakukan kajian ke atas penyebaran penyakit oleh nyamuk. Nyamuk jantan di dalam makmal dikesan turut menghisap darah yang disediakan untuk nyamuk betina. Nyamuk jantan yang menghisap darah biasanya akan mati kerana ianya toksik tetapi dalam pemerhatian mereka, nyamuk jantan ini hidup seperti biasa tanpa kesan negatif.
Eksperimen kemudian dilakukan ke atas nyamuk jantan yang dibiarkan kehausan dan apabila kapilari berisi darah diberikan, ia menghisapnya seperti nyamuk betina. Penemuan baharu ini hanya dikesan di dalam makmal dan jika nyamuk jantan tidak ternyahhidrat. Di luar makmal, nyamuk jantan hidup dengan menghisap nektar dan cecair bergula semula jadi.
Setakat ini lima spesis nyamuk jantan dikesan menghisap darah iaitu Culex tarsalis, Culex quinquefasciatus, Aedes aegypti, Aedes notoscriptus, dan Anopheles stephensi. Daripada spesis ini, Aedes aegypti dan Culex quinquefasciatus wujud di Malaysia dengan ia menyebarkan penyakit denggi dan ensefalitis Jepun.
Kertas kajian kini di tahap pracetak di bioRXiv dan sedang menanti untuk menjalani ujian sejawat.






