NVIDIA Dilaporkan Meminta Bayaran Penuh Untuk Komponen AI H200 Dari Syarikat-Syarikat China
Nazrin
Pada penghujung tahun lepas, kerajaan Amerika Syarikat telah akhirnya membenarkan NVIDIA untuk menjual komponen pemprosesan AI mereka, iaitu NVIDIA H200 kepada syarikat-syarikat China tanpa sebarang sekatan, tetapi perlu memberi potongan jualan 25 peratus kepada kerajaan Amerika.
Terkini, ia dilaporkan bahawa walaupun tiada sebarang halangan kepada jualan ini, NVIDIA nampaknya akan meminta syarikat-syarikat yang membeli komponen pemprosesan AI tersebut untuk bayaran penuh untuk bekalan tersebut sebelum ia dihantar ke China.

Bukan itu sahaja, sebarang tempahan komponen yang dibuat tidak boleh diubah ataupun dibatalkan, tetapi syarikat-syarikat China boleh menggantikan sebahagian bayaran wang dengan insuran komersil ataupun aset cagaran.
NVIDIA sudahpun bersiap-sedia untuk mengeksport sejumlah besar cip AI NVIDIA H200 ini kepada syarikat-syarikat di China sebelum sambutan Tahun Baru Cina pada pertengahan bulan Februari ini. Ia dijangka bahawa NVIDIA akan meneruskannya selepas sambutan cuti dalam dua ke tiga minggu selepas itu.
Walaupun kerajaan China telah mengatakan bahawa mereka tidak lagi akan membeli komponen pemprosesan AI NVIDIA, mereka masih membenarkan syarikat-syarikat tempatan untuk membelinya, tetapi tanpa bantuan kewangan dan lain-lain dari pihak kerajaan, yang mahukan mereka untuk menggunakan solusi tempatan sahaja.






