NVIDIA Dilaporkan Akan Memperkenalkan GeForce RTX 3060 Kembali Untuk Menangani Isu Ketandusan Memori
Nazrin
Model kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3060 dan GeForce RTX 3060 Ti dilancarkan pada tahun 2021 dengan model 12GB memori GDDR6, dan kemudiannya pada tahun 2022 dengan model 8GB.
Ia dilihat sebagai salah satu kad grafik yang paling mampu milik dan cukup berkuasa untuk menggerakkan permainan-permainan moden pada zaman COVID-19, tetapi kini telah digantikan oleh penawaran lebih berkuasa dalam siri GeForce RTX 4000 dan kini GeForce RTX 5000.

Walaupun begitu, ketandusan bekalan komponen VRAM untuk kad grafik gaming kelas pengguna kini nampaknya dilaporkan akan memaksa NVIDIA untuk memperkenalkan semula model kad grafik ini untuk memenuhi kehendak dan keperluan gamer yang mahu membina atau membeli komputer gaming baru.
Jika benar, nampaknya NVIDIA juga tidak terkecuali daripada isu kekurangan komponen VRAM terbaru (GDDR7) yang diperlukan untuk menguasakan kad-kad grafik siri NVIDIA GeForce RTX 5000. Model GeForce RTX 3060 menggunakan VRAM GDDR6 yang dilihat masih banyak di pasaran dan boleh digunapakai untuk menghasilkan kad grafik RTX 3060.
Walaupun begitu, setakat in ia tidak diketahui lagi samada model yang akan dibawa balik hadir dengan penawaran 12GB ataupun 8GB mahupun bilakah ia akan diperkenalkan kembali sekiranya ia benar bahawa NVIDIA akan mula menghasilkan kad grafik tersebut sekali lagi.






