Nothing Akan Mengubah Rekaan Logo
Effi Saharudin
Selepas hampir lima tahun ditubuhkan, Nothing kini mengacah ia akan menukar logo yang digunakan sejak hari pertama. Menerusi gambar yang dimuat naik menerusi akaun X rasmi, Nothing menunjukkan logo yang menggunakan reka huruf berbentuk titik akan digantikan dengan reka huruf baharu yang lebih kemas.

Reaksi orang ramai adalah bercampur-campur dengan ramai bersetuju dan ramai juga tidak bersetuju. Reka huruf baharu ini akan menjadikan antaramuka peranti lebih mudah dibaca. Tetapi pada waktu yang sama ia akan menghilangkan keunikan antaramuka Nothing yang mempunyai rekaan tersendiri kerana lain daripada yang lain. Besar kemungkinan menggunakan reka huruf konvensional akan membuatkan lebih ramai memilih membeli peranti Nothing dan bukan sekadar sekumpulan kecil peminat tegar.
Awal tahun ini, pengasas syarikat Carl Pei telah mengatakan tahun ini akan melihat semua pengeluar peranti akan menghadapi masalah mendapat komponen serta harga jualan peranti akan meningkat sehingga 30%. Tetapi beliau juga meramalkan ini membuatkan perlumbaan spesifikasi tidak lagi penting dan sebaliknya berpindah kepada penawaran pengalaman dan rekabentuk yang unik kepada pengguna.






