Ninja Van Malaysia Perkukuh Perkhidmatan Dan Operasi Logistik
Amy Maizuraa
Tahun baharu membawa strategi baharu. Ninja Van Malaysia pada hari ini mengumumkan pelan strategi 2026 dengan menumpukan perhatian kepada pengukuhan penawaran sedia ada yang kekal relevan dengan keperluan pasaran.

Dalam pengumuman tersebut, Ninja Van menegaskan komitmen untuk memperluas perkhidmatan ke lebih banyak kawasan sambil membangunkan penyelesaian logistik yang menyeluruh bagi menyokong keperluan perniagaan semasa.
Pada masa sama, syarikat ini berusaha mengembangkan keupayaan logistik melangkaui penghantaran jarak akhir kepada pelanggan sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan yang lebih boleh dipercayai dan menyeluruh.
Melalui langkah ini, Ninja Van berhasrat menyokong aliran B2C dan B2B dengan penawaran baharu yang merangkumi logistik rantaian sejuk, pengangkutan kargo serta perkhidmatan Ninja B2B Restock yang dipertingkatkan.

Selain itu, Ninja Van merancang untuk memperkenalkan laluan LTL (Less Than Truckload) antara bandar serta menambah pilihan Muatan Penuh Lori (FTL) pada H2 2026 bagi penghantar bersaiz sederhana. Langkah ini dijangka memodenkan pergerakan kargo dalam segmen yang sebelum ini bergantung pada kaedah pengangkutan kurang fleksibel. Pada masa sama, perkhidmatan B2B Restock akan diperluas ke sektor perindustrian dan pembuatan, sekali gus menjadikan kelajuan pengisian semula sebagai kelebihan utama bagi perniagaan.




Dalam pengumuman yang sama, Ninja Van turut berkongsi pencapaian sepanjang tahun 2025 termasuk pengembangan Ninja Cold dan peluasan laluan rentas sempadan. Pada masa yang sama, mereka turut mengukuhkan fokus terhadap logistik B2B dengan menangani jurang dalam landskap yang masih manual sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian menyeluruh.


Hasilnya, Ninja Van mencatat pertumbuhan ketara merentas segmen utama. Dalam penghantaran ke destinasi akhir, syarikat berjaya menjangkau lebih 20 juta penerima bungkusan di seluruh Malaysia. Sementara itu, Ninja Cold menyokong lebih 1,000 perniagaan dan kini mengendalikan sekitar 100,000 bungkusan sejuk setiap bulan dengan liputan penuh di Semenanjung Malaysia. Pada masa sama, Ninja B2B Restock merekodkan pertumbuhan dua kali ganda dari tahun ke tahun dan menyokong lebih 250 perniagaan dengan kitaran pengisian semula yang pantas serta boleh dipercayai.





