Netflix Secara Rasmi Mengambil Alih Warner Bros, HBO dan HBO Max
Effi Saharudin
Seperti yang diuar-uarkan sejak pagi tadi, Netflix kini secara rasmi mengambil alih perniagaan Warner Bros. Discovery yang terdiri daripada Warner Bros Television, Warner Bros Motion Picture Group, DC Studios, HBO and HBO Max serta kesemua pustaka filem dan siri TV yang pernah diterbitkan. Netflix kini pemegang IP bernilai seperti DC Comics, Harry Potter, Hanna-Barbera dan Game of Thrones.

Netflix walau bagaimanapun tidak mengambil alih perniagaan Global Networks yang terdiri daripada perniagaan hiburan, sukan dan saluran berita CNN, TNT Sports, Discovery networks, platform penstriman Discovery+ dan Bleacher Report.
Netflix membayar $82.7 bilion (RM 340 bilion) untuk kesemua ini dalam bentuk pembelian saham serta bayaran tunai. Sekiranya tidak menerima tentangan badan anti persaingan Amerika Syarikat, pengambilalihan akan dimuktamadkan menjelang Q3 2026.
Pembelian ini agak mengejutkan kerana sebelum ini Paramount Skydance dilihat sebagai syarikat yang akan memenangi bidaan kerana ingin membeli keseluruhan Warner Bros. Discovery tanpa syarikat dipecahkan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.





