MSI GeForce RTX 5090 LIGHTNING Hadir Dengan Sistem Penyejukan Cecair Dan Sokongan Penggunaan Kuasa Setinggi 1600W
Nazrin
Selain daripada paparan skrin gaming, MSI juga dijangka akan memperlihatkan kad grafik siri MSI LIGHTNING terbaru mereka, iaitu MSI GeForce RTX 5090 LIGHTNING. Kad grafik ini menggunakan NVIDIA GeForce RTX 5090 dengan memori GDDR7 sebanyak 32GB sebagai asas, dan telah menambah sejumlah sistem baru untuk mendapatkan prestasi terbaik daripadanya.
Perkara pertama yang anda akan perasan mengenai kad grafik ini ialah ia menggunakan bongkah penyejukan cecair yang sudah dimuatkan secara terus diatas komponen GPU dan juga VRAM untuk mengalirkan haba dari komponen-komponen tersebut secara cekap.
MSI baru sahaja mengacahkan ketibaan kad grafik ini, dan secara teknikalnya rekaan penuh belum diperlihatkan lagi, tetapi pihak CES sudahpun memberi gambaran apakah rupa kad grafik ini apabila dilihat dari hadapan.

Ia juga dikatakan bahawa kad grafik ini akan hadir dengan palam kuasa tambahan, dan boleh menyokong penggunaan kuasa elektrik setinggi 1600W dan sangat sesuai untuk digunakan untuk tujuan lewahjam. MSI dijangka akan memperlihatkan butiran lanjut mengenai kad grafik ini sewaktu acara CES 2026.






