Acara CES 2026 berlangsung pada minggu ini di Las Vegas, Amerika Syarikat dan banyak syarikat-syarikat pengeluar perkakasan elektronik akan memperkenalkan produk-produk terbaru mereka.
Salah satu daripada mereka ialah MSI yang akan memperlihatkan dua buah paparan skrin gaming baharu, iaitu MSI MPG 341CQR QD-OLED X36 dan juga MSI MEG X di acara tersebut, khusus untuk mereka yang sudahpun memiliki komputer gaming yang berkuasa.

Bermula dengan MSI MPG 341CQR QD-OLED X36, paparan skrin ini hadir menggunakan paparan QD-OLED melengkung bersaiz 34 inci dengan resolusi 4K (3440 x 1440) dengan kadar segar semula setinggi 360Hz dan mempunyai nilai kecerahan setinggi 1300 nit.

Dari segi sokongan olahan warna, paparan skrin ini hadir dengan kemampuan untuk mengolah 99 peratus daripada gamut warna DCI-P3 dan mempunyai nilai delta kejituan olahan warna kurang daripada dua.
Dengan penyenaraian piawaian VESA ClearMR 18000 dan VESA DisplayHDR500, pengguna boleh memanfaatkan paparan ini untuk pelbagai jenis kegunaan, dari gaming ke tontonan video dan juga untuk kerja menyunting video tanpa sebarang isu.

Untuk mengurangkan isu pantulan cahaya pada skrin OLED, MSI juga telah menambah lapisan DarkArmor pada paparan skrin ini, dan dengan bantuan panel QD-OLED generasi kelima yang membantu menyerap sinar cahaya yang lebih baik, ini membolehkan pengguna untuk menikmati adegan-adegan cerah dan gelap tanpa perlu risau tentang pantulan cahaya dan bayangan dari skrin.
Paparan ini juga hadir dengan palam HDMI 2.1, DisplayPort 2.1, palam USB Type-C yang cukup berkuasa untuk mengecas komputer riba nipis dan ringan. Tapak kaki yang lebih kecil juga memberi pengguna lebih banyak ruang diatas meja untuk hiasan ataupun aksesori komputer yang lain.
Dalam pada itu, MSI juga telah memperkenalkan paparan skrin MSI MEG X yang baru, iaitu paparan skrin MSI MPG 341CQR QD-OLED X36 yang sama, tetapi dengan beberapa ciri AI baru yang terbina didalamnya. Ia termasuklah AI Tracker, AI Gauge, AI Vision+, AI Scene, AI Goggle dan AI Scope yang dikatakan akan memberi kelebihan dalam permainan kepada pengguna.
MSI akan memperlihatkan lebih banyak butiran mengenai kedua-dua paparan skrin gaming ini sewaktu acara CES 2026, bersama-sama dengan produk-produk mereka yang lain.






