Motorola Moto X70 Air Dilancarkan – Senipis 6mm
Effi Saharudin
Era telefon nipis dimulakan oleh Samsung Galaxy S25 Edge dan kemudiannya meletus selepas iPhone Air dilancarkan bulan lepas. Kini semakin banyak pengeluar mengikuti trend melancarkan telefon nipis. Semalam Motorola Moto X70 Air dilancarkan dengan tubuh senipis 6mm.

Motorola Moto X70 Air dilengkapi skrin 6.7″ OLED 120Hz, dijana cip Snapdragon 7 Gen 4, memori 12GB LPDDR5X RAM, storan sehingga 512GB UFS 3.1 dan bateri 4800mAh dengan pengecasan pantas 68W berwayar dan 20W nirwayar, Kapasiti bateri ini lebih besar berbanding Galaxy S25 Edge (3900 mAh) dan iPhone Air (3149mAh).

Terdapat tri-kamera di belakang dengan salah satunya dilengkapi sensor 50MP. Di hadapan kamera swafoto juga sebesar 50MP. Peranti turut mempunyai pengimbas cap jari terbina dalam skrin, melepasi piawaian IP69, tahan hentakan dan menggunakan sistem operasi Android 16. Ia ditawarkan dalam warna Panton Gadget Gray, Lily Pad, dan Bronze Green tetapi harga belum diumumkan.
Peranti ini akan ditawarkan ke pasaran global menggunakan nama Motorola Edge 70 dalam masa terdekat.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






