Meta Mula Sekat Akaun Remaja Bawah 16 Tahun Di Australia Susulan Larangan Media Sosial
Amy Maizuraa
Meta mula menyekat pengguna bawah 16 tahun di Australia daripada mengakses Instagram, Threads dan Facebook sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan undang-undang larangan media sosial remaja yang berkuat kuasa pada 10 Disember 2025.

Jurucakap Meta berkata usaha menyekat akaun bawah umur sedang giat dijalankan menakala proses pematuhan undang-undang akan dilakukan secara berterusan. Australia pula mewajibkan 10 platform utama termasuk TikTok dan YouTube menyekat pengguna bawah 16 tahun dengan syarikat berdepan denda sehingga A$49.5 juta (~RM 209 juta) jika gagal mengambil langkah munasabah.

Larangan ini dijangka menjejaskan ratusan ribu remaja, termasuk kira-kira 350,000 pengguna Instagram berusia 13 hingga 15 tahun. Namun, beberapa aplikasi popular seperti Roblox, Pinterest dan WhatsApp masih dikecualikan, sementara Twitch baru ditambah kurang dua minggu lalu.
Meta menegaskan komitmen mematuhi undang-undang Australia namun mencadangkan kedai aplikasi turut bertanggungjawab dalam pengesahan umur. Menurut syarikat, langkah itu dapat mengelakkan remaja daripada perlu mengesahkan umur berulang kali di pelbagai aplikasi.
Sementara itu, YouTube mengkritik larangan tersebut dengan alasan remaja lebih terdedah kerana masih boleh melayari laman tanpa akaun tetapi kehilangan penapis keselamatan.

Menteri Komunikasi Australia, Anika Wells menolak hujah tersebut dan menegaskan kandungan tidak sesuai adalah tanggungjawab platform. Beliau turut mendedahkan kes remaja di Australia membunuh diri akibat algoritma media sosial yang menjejaskan harga diri. Namun, katanya undang-undang ini mungkin tidak menyelesaikan semua masalah tetapi sekurang-kurangnya membantu remaja menjadi diri yang lebih baik.
Sementara itu, kumpulan hak digital Digital Freedom Project mencabar undang-undang tersebut di Mahkamah Tinggi Australia atas alasan mengekang kebebasan bersuara. Namun, pihak berkuasa keselamatan siber mengakui tiada penyelesaian berkesan kerana remaja berpotensi menggunakan identiti palsu untuk mengelak sekatan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






