Meta Mengambil Alih Syarikat Ejen AI Manus
Effi Saharudin
Manus mengumumkan bahawa mereka menyertai Meta awal pagi ini. Manus ialah sebuah syarikat yang membangunkan ejen kecerdasan buatan (AI) yang berpangkalan di Singapura dengan tujuan digunakan dalam bidang tugasan penyelidikan, automasi dan tugasan kompleks dunia sebenar. Nilai yang dibayar Meta untuk mengambil alih Manus tidak diumumkan oleh kedua-dua syarikat.

Tahun lalu Manus menjana pendapatan $125 juta dengan setakat ini ejen AI mereka telah memproses lebih 147 trilion token dan menjana 80 juta komputer maya. Walaupun telah diambil alih oleh Meta, pasukan Manus akan kekal beroperasi di Singapura. Pelanggan sedia ada masih boleh terus menggunakan perkhidmatan Manus. Meta pula akan mengintegrasikan ejen Manus ke dalam perkhidmatan mereka seperti Meta AI.
Manus menjadi satu lagi pelaburan Meta dalam sektor AI tahun ini selepas melakukan pelaburan $14.3 bilion untuk mengambil alih 49% saham Scale AI pada bulan Jun. CEO Scale AI kemudiannya dilantik menjadi ketua Meta Superintelligence Labs yang diberikan tugas membangunkan model AI masa depan Meta khususnya untuk menjadi yang pertama mencipta kecerdasan am buatan (AGI).






