Menteri – Teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik Bantu Kurangkan Kesesakan Sekatan Jalan Raya
Amy Maizuraa
Kesesakan panjang akibat sekatan jalan raya sering menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna kerana lorong trafik yang dikecilkan memperlahankan aliran kenderaan. Perkara ini mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mencadangkan agar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) beralih kepada pendekatan baharu supaya penguatkuasaan lebih berkesan tanpa menjejaskan kelancaran trafik.

Beliau menjelaskan bahawa Teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) mampu menjadi jalan penyelesaian kerana tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada sekatan fizikal. Melalui gabungan data dan penggunaan kamera ANPR, semakan dapat dilakukan secara automatik tanpa perlu menghentikan kenderaan di jalan raya.
Anthony turut memaklumkan bahawa PLUS telah berbincang dengan JPJ mengenai pelaksanaan sistem ANPR. Beliau yakin sekiranya sistem ini diintegrasikan, ia bukan sahaja berfungsi untuk kutipan tol tanpa henti tetapi juga bagi penguatkuasaan undang-undang jalan raya. Malah, beliau turut percaya langkah tersebut akan diikuti oleh lebuh raya lain memandangkan jutaan kenderaan melalui lebuh raya setiap hari.






