Menjana Satu Video AI Menggunakan Tenaga Sama Menjalankan Ketuhar Gelombang Mikro Selama Sejam
May 26, 2025
•
Effi Saharudin
Bukan rahsia syarikat teknologi utama dunia gagal memenuhi sasaran operasi yang lebih lestari sejak dua tahun kebelakangan ini sejak menawarkan pelbagai perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) generatif. Bukan juga rahsia ia bukan sahaja menelan kuasa elektrik yang tinggi tetapi memerlukan air untuk sistem penyejukan yang banyak. Dengan populariti AI generatif meningkat, MIT Technology Review menerbitkan laporan yang mengatakan menjana satu video sepanjang 5 saat menggunakan AI generatif menggunakan kuasa yang sama menjalankan ketuhar gelombang mikro selama lebih sejam.

Ini berdasarkan penggunaan AI generatif Code Carbon yang dianggarkan menggunakan 3.4 juta joule untuk menjana video 5 saat pada kadar 30 bingkai sesaat. Ini juga bersamaan tenaga digunakan untuk menggerakkan sebuah basikal elektrik sejauh 61 kilometer. Penggunaan tenaga AI generatif menjana video akan semakin meningkat dengan resolusi dan kadar bingkai lebih tinggi di masa depan.
Dalam artikel yang sama bertanya 15 soalan kepada sebuah chatbot, menjana 10 keping gambar dengan AI generatif dan menjana 3 video sepanjang 5 saat dianggarkan menggunakan 2.9 kWh tenaga elektrik bersamaan menjalankan sebuah ketuhar gelombang mikro berterusan selama 3.5 jam.
Yang merisaukan mengenai laporan ini ialah kesemua perkiraan dilakukan berdasarkan anggaran terpelajar dan bukan angka sebenar kerana syarikat AI tidak berkongsi jumlah tenaga elektrik yang digunakan setiap model yang ditawarkan kepada pelanggan.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.