Maybank Rancang Untuk Perkenal Aplikasi Baharu Gantikan MAE
Aman
Maybank kini mengumumkan perancangan lima tahun untuk gergasi perbankan tersebut, termasuk fokus terhadap arena digital dan integrasi kecerdasan buatan. Dibawah perancangan berkenaan, Maybank turut menyatakan akan menggantikan aplikasi MAE dengan sebuah aplikasi perbankan baharu.
Buat masa ini, garis masa untuk pengenalan aplikasi baharu berkenaan tidak dinyatakan lagi. Maklumat lanjut berkenan dengannya dijangka akan dikongsikan kelak pada tahun ini.

Aplikasi baharu Maybank dijangka akan meliputi rantau Asia Tenggara dan bukannya khusus untuk pasaran Malaysia dan negara lain secara berasingan seperti sedia ada. Aplikasi baharu dijangka akan boleh beroperasi rentas pasaran, sekaligus membolehkan integrasi lebih menyeluruh dan baik antara pasaran seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia. Maybank mungkin perkenal aplikasi baharu ini bermula dari Indonesia.
Dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan langkah seterusnya Maybank, dan apakah pembaharuan dan ciri tambahan yang bakal dibawakan oleh aplikasi perbankan baharu mereka kelak.
Maybank sebelum ini telah memperkenalkan MAE pada tahun 2019, dan mereka telah menyambut ulang-tahun ke-5 pada tahun lepas. MAE menggantikan aplikasi Maybank sebelum ini yang dikenali Maybank2U MY yang ditamatkan pada 2024.






