Masjidil Haram Kini Dilengkapi Sistem Pintar Mengawal Jumlah Jemaah
Amy Maizuraa
Menyambut dan menjalani ibadat puasa Ramadan di Makkah dan Madinah pasti menjadi impian setiap umat Islam. Kenangan itu juga sentiasa dirindui oleh mereka yang pernah merasainya. Namun, dengan jumlah jemaah yang semakin meningkat, pemantauan rapi amat diperlukan demi keselamatan semua.
Terbaharu, Arab Saudi memperkenalkan sistem pengiraan pintar di Masjidil Haram. Sistem ini berfungsi untuk mengira jumlah jemaah yang masuk dan keluar melalui pintu masjid secara masa nyata. Hasilnya, ia dapat memantau kepadatan jemaah, mengenal pasti titik kesesakan serta mengurus pergerakan jemaah dengan lebih selamat.

Pelaksanaan sistem ini dianggap penting kerana jemaah terdiri daripada pelbagai lapisan umur. Dengan adanya teknologi ini, pasukan lapangan boleh membuat keputusan lebih cepat berdasarkan data sekali gus mengelakkan kesesakan dan memastikan kelancaran ibadah.
Kepentingan sistem ini juga semakin memuncak ketika Ramadan khususnya pada waktu solat Tarawih yang penuh sesak. Ia juga akan memainkan peranan besar semasa musim Haji apabila jutaan jemaah hadir serentak.






