Lenovo Legion Go 2 Dengan Sistem Operasi SteamOS Mungkin Diperkenalkan Di CES 2026
Nazrin
Lenovo Legion Go 2 telah diperkenalkan pada tahun ini, dan hadir dengan banyak penambahbaikan baru seperti penggunaan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2/Z2 Extreme, paparan lebih besar dan kemaskini kepada perisian yang digunakan.
Terdapat beberapa laporan baru yang mengatakan bahawa Lenovo dijangka akan memperlihatkan penawaran konsol PC mudah-alih Lenovo Legion Go 2 yang akan menggunakan spesifikasi fizikal sama seperti konsol baru ini, tetapi menggerakkan sistem operasi SteamOS.

Ini bukanlah konsol Lenovo pertama yang menggunakan sistem operasi tersebut. Selain daripada Steam Deck, Lenovo Legion Go Lite juga menggunakan sistem operasi tersebut, memperlihatkan kemungkinan besar bahawa ia boleh ditawarkan kepada lebih banyak konsol PC mudah-alih di masa hadapan.
SteamOS dilihat lebih cekap berbanding dengan Windows 11 apabila digunakan sebagai sistem operasi konsol permainan, dan dengan spesifikasi sama yang dijangka akan diperkenalkan, ini juga mungkin bermakna bahawa sistem operasi tersebut mungkin semakin sedia digunakan oleh pelbagai jenis peranti komputer, khususnya dengan PC konsol Steam Machine yang juga akan dilancarkan pada tahun hadapan.






