
Tahun 1996 ialah tahu kelahiran permainan video Tomb Raider dengan watak protagonis Lara Croft. Populariti permainan ini adalah di peringkat global sehingga tiga filem aksi nyata dihasilkan tetapi kini Lara Croft seakan telah dilupakan. Sempena ulang tahun ke 30 tahun depan, dua permainan baharu telah diumumkan pagi tadi.
Dua permainan ini ialah Tomb Raider: Legacy of Atlantis dan Tomb Raider: Catalyst yang dibangunkan oleh Crystal Dynamics dan diterbitkan pula oleh Amazon Game Studios. Tomb Raider: Legacy of Atlantis ialah olahan semua permainan asal Tomb Raider. Pemain boleh mengawal Lara Croft dengan beliau menggunakan semula rekaan baju berwarna biru pirus, seluar pendek, beg sandang kecil dan dua pistol secara akimbo. Ini ialah olahan kedua permainan asal selepas Tomb Raider: Anniversary yang diterbitkan pada tahun 2007.
Tomb Raider: Catalyst pula ialah kesinambungan kepada trilogi Tomb Raider yang tamat pada tahun 2019. Watak Lara kelihatan lebih berusia dengan beliau mengekalkan perwatakan trilogi dan akhirnya boleh menggunakan dua pistol serentak. Tidak banyak maklumat dikongsi mengenai cerita tetapi Tomb Raider: Catalyst akan dilancarkan pada tahun 2027 manakala Tomb Raider: Legacy of Atlantis pula pada tahun 2026.






