Konsol Xbox Baharu Sedia Dilancarkan 2027
Effi Saharudin
Menurut laporan kewangan Microsoft pada suku lalu, pendapatan daripada perniagaan Xbox susut 30% berbanding suku sama tahun lalu. Persaingan daripada PlayStation dan Switch menyebabkan Xbox telah lebih awal mengibarkan bendera putih sehingga permainan dahulunya eksklusif kini ditawarkan pada konsol pesaing. Sungguhpun begitu kini muncul laporan konsol Xbox yang seterusnya sedia untuk dilancarkan seawal 2027.

Dalam laporan kewangan AMD yang diterbitkan pagi tadi, CEO AMD Lisa Su mengatakan pembangunan cip Xbox generasi seterusnya berjalan lancar dengan ia sedia menyokong pelancaran Xbox baharu seawal 2027. Ia sekali adalah cip rekaan khusus untuk Xbox tetapi berasaskan teknologi AMD seperti konsol-konsol Xbox terdahulu.
Sudah kedengaran ura-ura Xbox generasi seterusnya adalah lebih menghampiri sebuah PC Windows 11 mini dan bukan konsol tradisional. Prototaip Xbox masa depan sudah boleh dilihat pada ROG Xbox Ally yang dilancarkan tahun lalu. Ia dipercayai boleh menjalankan permainan Xbox dan juga PC dalam satu mesin.
Walaupun AMD sedia menyokong pelancaran Xbox generasi seterusnya tahun depan, ini tidak bermakna ia akan dilancarkan 2027. Isu bekalan memori dan SSD masih berlaku menyebabkan harga komponen mencanak naik. Besar kemungkinan ia akan ditangguhkan sehingga harga kembali stabil seperti juga PlayStation 6 yang dikhabarkan ditangguhkan selepas 2027.






