KKM Nafi Mesej Tular Dakwaan Klinik Kesihatan Tidak Menerima Pesakit Tanpa Janji Temu
Amy Maizuraa
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan terkini menafikan mesej tular yang mendakwa Klinik Kesihatan tidak menerima pesakit tanpa janji temu. Sehubungan itu, KKM menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan hanya menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat. Sebaliknya, Klinik Kesihatan masih menerima pesakit tanpa janji temu seperti biasa mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

Meskipun sistem janji temu merupakan kaedah utama tetapi ruang untuk pesakit tanpa janji temu masih disediakan khususnya bagi kes kecemasan, warga emas serta golongan yang mempunyai kekangan akses teknologi. Pesakit tanpa janji temu akan tetap dilayan namun demikian mereka perlu melalui proses penilaian terlebih dahulu. Sementara itu, pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang telah ditetapkan.
KKM memahami bahawa tahap akses teknologi berbeza bagi setiap individu. Oleh itu, perkhidmatan tanpa janji temu masih diteruskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat pengalaman rawatan yang adil serta saksama.






