Kioxia Mengatakan Bekalan Dan Kapasiti Cip Storan Mereka Untuk Tahun Ini Sudah Habis Dijual
Nazrin
Kioxia ialah sebuah syarikat pengeluar cip storan yang cukup terkemuka di Jepun. Mereka dilihat bekerjasama dengan syarikat pengeluar perkakasan dan aksesori storan SanDisk untuk menghasilkan komponen-komponen tersebut untuk kegunaan pengguna dan juga pelbagai jenis industri.
Terkini, Pengarah Urusan Kioxia, Shunsuke Nakato telah mengatakan bahawa bekalan cip NAND yang digunakan untuk storan solid state sepanjang tahun ini semuanya sudah habis dijual. Untuk Kioxia, jumlah storan yang dijual dan dihantar kepada pelanggan-pelanggan mereka adalah tetap, dan mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menambahkan pengeluaran dalam tempoh yang singkat.

Oleh kerana ini, Kioxia telah memeterai beberapa perjanjian jabat tangan untuk membolehkan mereka memenuhi permintaan pelanggan sebaik mana yang mereka boleh, menggunakan kapasiti yang belum dikeluarkan untuk memenuhi permintaan tersebut. Menurut Nakato, permintaan pelanggan-pelanggan mereka telah meningkat sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lepas, dan ini menyebabkan ketandusan bekalan komponen tersebut.
Ini bermakna bahawa bukan sahaja bekalan yang disediakan untuk tahun ini sudah habis dijual, kapasiti komponen storan yang akan dikeluarkan oleh mereka pada tahun ini juga dilaporkan sudah habis diambil oleh syarikat pengeluar komponen memori dan storan untuk sektor AI.
Kilang Yokkaichi mereka di Korea Selatan dilaporkan menghasilkan 50TB cip NAND setiap hari, dan semuanya dikatakan sudahpun habis dibeli lebih awal oleh pelanggan-pelanggan mereka. Nakato turut mengatakan bahawa isu ini dijangka akan berterusan sehingga tahun 2027.






