Ketua Instagram Mengatakan Lebih Mudah Melabel Kandungan Asli Berbanding Melabel Kandungan Janaan AI
Aman
Ketua Instagram, Adam Mosseri kini berkongsi sejumlah pandangan berkenaan trend dan peralihan yang dilihat untuk tahun 2026 ini. Salah satunya adalah berkenaan lambakkan kandungan janaan kecerdasan buatan rentas platform, termasuk Instagram.
Seperti ramai sedia maklum, pada hari ini kita sedia melihat kandungan janaan digunakan ramai di sejumlah platform, sekaligus menimbulkan kekeliruaan dan perdebatan berkaitan sesuatu perkara atau informasi. Tidak setakat itu, kandungan janaan kecerdasan buatan juga digunakan dalam penyampaian sejumlah perkara. Ini sekaligus membuatkan sejumlah platform media sosial kini menyertakan label untuk menandakan sesuatu kandungan itu dijana kecerdasan buatan.

Disamping itu, beberapa perkhidmatan turut menyertakan petanda pada gambar atau video janaan, yang melabelkan ia sebagai kecerdasan buatan. Namun, tidak semua platform menyertakan penanda berkenaan. Perkara ini membuatkan pengenal-pastian kandungan yang dijana AI adalah sukar untuk dikenal-pasti – apatah lagi dengan model AI yang berkembang pesat pada setiap hari.
Menyentuh mengenainya, Adam mengatakan lebih mudah sekiranya kita melabel dan menambah petanda pada media asli. Langkah berkenaan juga dikatakan lebih mudah, memandangkan pengeluar kamera boleh menambah petanda pada hasil rakaman dengan mudah.
Disamping itu, Adam turut menyentuh berkenaan rakaman gambar, yang mana ramai mengejar untuk merakamkan detik yang sangat sempurna – sekaligus menyukarkan perbezaan dengan janaan AI. Mungkin pada masa kini, gambar yang tidak sempurna lebih baik, memandangkan ia memperlihatkan merupakan rakaman asli seseorang pengguna.






