Malaysia Oversight

Kes pecah amanah Daud Bakar: Pendakwaan serah dokumen SSM

By Utusan in June 19, 2026 – Reading time 2 minute
Kes pecah amanah Daud Bakar: Pendakwaan serah dokumen SSM


KUALA LUMPUR: Dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) antara yang diserahkan kepada pembelaan dalam kes pecah amanah RM10.55 juta membabitkan bekas Pe­nge­rusi Majlis Penasihat Syariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dan rakan kongsinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohamad Sobry memaklumkan Mahkamah Sesyen di sini, pihak pendakwaan masih memerlukan satu tarikh lain bagi serahan dokumen selanjutnya.

“Baki beberapa dokumen akan serah dalam prosiding akan datang, jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan kes,” katanya.

Pada prosiding hari ini, Mohd. Daud, 62, diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal manakala Gupinder Singh dan Datuk Jaya Prem mewakili Datuk Norliza Tajuddin, 54.

Hakim Suzana Hussin menetapkan sebutan semula kes bagi serahan dokumen pada 19 Ogos ini.

Pada 11 Mei lalu, Mohd. Daud dan Norliza mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah wang berjumlah RM10.55 juta, lima tahun lalu.

Mengikut semua pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai ejen iaitu pengarah dan pemegang saham Energy Eco Sdn. Bhd. yang diamanahkan dengan harta milik empat pelabur telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berkenaan.

Ia membabitkan wang RM400,000 dan RM200,000 milik Moideen Kunjayu; RM500,000, RM900,000 dan RM550,000 milik Koperasi Perumahan Sentul Pasar Kuala Lumpur Berhad; RM2 juta milik Datuk Dr. Mashitah Ibrahim serta RM6 juta milik Myad Kapital Sdn. Bhd.

Mereka didakwa secara tidak jujur menggunakan harta tersebut dengan melanggar kontrak nyata yang dibuat menerusi beberapa perjanjian pendahuluan berhubung perniagaan pembuatan sarung tangan patuh syariah.

Kesalahan itu dilakukan di dua bank di Taman Setiawangsa dan Bangsar antara 22 Jun 2021 hingga 15 Mei 2024.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.-UTUSAN



Source link