KOTA BHARU: Kemelut membelenggu Perikatan Nasional (PN) termasuk isu penggunaan logo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dijangka menjadi fokus Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu di Pejabat Agung Pas, Kuala Lumpur, 22 Jun ini.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat tersebut turut dijangka membincangkan persiapan menghadapi kedua-dua PRN termasuk soal agihan kerusi melibatkan parti-parti komponen PN.
Katanya, sehingga kini belum ada sebarang keputusan berhubung pembahagian kerusi kerana perkara itu hanya diputuskan menerusi Mesyuarat MT PN, bukannya dalam mesyuarat dalaman mana-mana parti.
“Setakat ini belum ada keputusan mengenai agihan kerusi untuk ditandingi parti-parti komponen kerana ia hanya dibincangkan dalam Mesyuarat MT PN. Kalau urusan berkaitan PN, kita bincang dalam mesyuarat PN.
“Tidak sepatutnya belum mesyuarat tetapi sudah tembak sana, tembak sini dan buat pelbagai andaian kononnya mahu larikan bendera dan mahu buang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanyaselepas Majlis Pengenalan Logo Baharu dan Barisan Kejurulatihan Kelantan City FC musim 2026/2027 di sini, hari ini.
Annuar berkata, Pas tidak pernah menghalang Bersatu daripada terus kekal bersama PN malah perkara itu telah dijelaskan sendiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Katanya, isu penyingkiran Bersatu daripada gabungan itu tidak pernah dibangkitkan kerana tiada sebarang usul ke arah tersebut.
“Macam Tok Guru Presiden cakap, Bersatu nak duduk, duduklah dalam PN dan tidak timbul nak buang pun. Asal jangan langgar peraturan. Kalau dia langgar peraturan, ada pula masalah disiplin, saya rasa tidak perlu Pas ajar sebab Bersatu lebih banyak pengalaman dalam memecat orang.
“Mesyuarat yang diadakan nanti adalah untuk cuba mencari jalan menyelesaikan masalah-masalah dalam PN secara musyawarah kerana PN adalah gabungan empat parti politik. Jadi kena bincang dengan kesemua empat pihak,” ujarnya.
Menurut Anwar, hanya Pengerusi PN mempunyai kuasa untuk memutuskan dan menandatangani watikah calon yang bertanding menggunakan logo gabungan itu dalam mana-mana pilihan raya.
Katanya, amalan tersebut selaras dengan prosedur biasa yang diamalkan oleh mana-mana gabungan politik di negara ini.
“Seperti Barisan Nasional (BN), dalam konteks PN, pengerusinyalah yang kena tandatangani watikah. Kalau wakili dan guna logo parti, maka presiden masing-masinglah tandatangani watikah. Ini amalan biasa dalam mana-mana gabungan atau parti politik,” ujarnya. – UTUSAN






