Kerajaan Taiwan Menguatkuasakan Polisi “N-1” Untuk Eksport Teknologi Pengeluaran Cip Semikonduktor
April 29, 2025
•
Nazrin
Ia bukanlah suatu hiperbola untuk mengatakan bahawa Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) merupakan syarikat teknologi paling penting untuk negara Taiwan. TSMC bertanggungjawab mengilangkan sejumlah besar cip-cip pemprosesan oleh pereka cip seperti Apple, AMD, Qualcomm, MediaTek, NVIDIA, malah Intel untuk cip pemprosesan Meteor Lake, Lunar Lake dan Arrow Lake terbaru mereka.
TSMC baru-baru ini telah membuka kilang baru di Amerika Syarikat, yang dilihat akan membekalkan cip-cip pemprosesan daripada syarikat seperti AMD, Apple dan sebagainya khusus untuk pasaran Amerika Syarikat, dan terkini, ia nampaknya kerajaan Taiwan akan menguatkuasakan sebuah polisi yang telahpun diperkenalkan tidak lama dahulu.
Kilang tersebut dinamakan Fab21 yang terletak di Phoenix, Arizona kini mengeluarkan cip pemprosesan menggunakan teknologi proses N4, yang digunakan untuk mengilang cip pemprosesan Apple A16 Bionic pada tahun lepas. TSMC mengatakan bahawa dengan pengenalan teknologi pengeluaran serba baharu, proses teknologi di kilang tersebut akan dinaiktaraf juga, dimana ia kelak akan menggunakan proses seperti N3, N2 dan A16 yang boleh memuatkan lebih banyak komponen transistor dalam ruangan cip pemprosesan yang sama.

Secara teknikalnya, TSMC boleh menggunakan teknologi pengeluaran cip semikonduktor ini di kilang Fab21 tersebut, tetapi kerajaan Taiwan kini mengatakan bahawa sebarang proses teknologi yang digunakan di kilang-kilang TSMC di luar negara, ia haruslah satu generasi di belakang apa yang mampu dikeluarkan di Taiwan.
Polisi ini dinamakan “N-1“, dan hanya akan membenarkan syarikat-syarikat seperti TSMC untuk mengeksport teknologi pengeluaran cip semikonduktor yang satu generasi kebelakang keluar dari negara tersebut. Ini adalah untuk mengekalkan posisi Taiwan sebagai negara pengeluar cip pemprosesan yang paling canggih di dunia.
Dalam pada itu, kerajaan Taiwan juga mengatakan bahawa mereka akan menguatkuasakan satu lagi undang-undang yang akan menyekat pelaburan asing sekiranya ia didapati bahawa pelaburan tersebut menyebabkan kemudaratan terhadap keselamatan negara, pembangunan ekonomi ataupun melanggar sebarang perjanjian perdagangan sedia ada.
Kerajaan Taiwan juga mengatakan lagi bahawa sekatan pelaburan asing ini akan dilakukan juga walaupun perjanjian pelaburan sudahpun ditandatangani oleh syarikat dan pelabur luar negara sekiranya ia didapati bahawa undang-undang tersebut tidak dipatuhi.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.