Kerajaan Perancis Berhenti Menggunakan Aplikasi Negara Luar Seperti Zoom, Meet, dan Teams
Effi Saharudin
Perang dingin yang tamat pada dekad 90an ialah antara blok negara Barat yang diketuai Amerika Syarikat dengan negara yang berpaksikan komunis seperti USSR. Semasa perang ini tamat, penduduk dunia bergembira kerana pertelagahan kuasa-kuasa besar dilihat akan tamat. Tetapi di tahun 2026, perang dingin baharu berlaku pula antara Amerika Syarikat dengan sekutu NATO mereka kerana mereka ingin mengambil Greenland.

Sebagai tanda protes dan memastikan struktur komunikasi mereka bebas daripada ancaman luar, kerajaan Perancis mengumumkan mereka akan berhenti menggunakan perisian dari negara luar seperti Zoom, Google Meet, Microsoft Teams dan Webex. Ia akan digantikan dengan perisian Visio keluaran firma tempatan. Integrasi Visio sebagai platform telesidang kerajaan Perancis akan dilakukan sepenuhnya menjelang 2027.
Visio dibangunkan oleh DINUM (Direktorat Antara Kementerian untuk Hal Ehwal Digital) dan disokong oleh ANSSI untuk standard keselamatan tertinggi. Visio juga menyokong perkhidmatan tempatan lains seperti sistem awanan SecNumCloud melalui Outscale milik Dassault Systèmes, menyokong transkripsi AI oleh Pyannote dan menghasilkan sari kata nyata menerusi Kyutai AI.
Setakat ini Vision sudah mempunyai lebih 40,000 pengguna AI dalam fasa percubaan dengan ia akan dikembangkan lagi kepada 200,000 penjawat awam. CNRS, Assurance Maladie, DGFiP dan Kementerian Pertahanan antara agensi terawal yang beralih sepenuhnya ke Visio.
Kedaulatan digital kini dilihat sebagai langkah keselamatan negara blok Barat selepas mereka tidak lagi boleh berharap Amerika Syarikat tidak akan menghalang akses teknologi mereka secara mengejut. Tahun lalu seorang hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) hilang akses kepada akaun Microsoft beliau selepas dimasukkan ke dalam senarai sekatan oleh Amerika. Ini semua gara-gara keputusan ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu kerana jenayah genosid di Gaza.






