Bersempena keputusan untuk menghalang rakyat Malaysia yang berumur bawah 16 tahun daripada mendaftar akaun pada platform media sosial, satu lagi pengumuman telah dibuat berkenaan platform-platform tersebut pada hari ini.
Platform-platform media sosial yang beroperasi di Malaysia akan diwajibkan untuk mengimplimentasi sistem eKYC atau electronic Know Your Customer menjelang suku kedua pada tahun hadapan (2026). Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengatakan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah diarahkan untuk memberi notifikasi kepada semua platform-platform media sosial yang telah berdaftar di Malaysia untuk mengimplimentasi sistem tersebut.

Arahan kepada pihak SKMM ini juga adalah bertujuan untuk memberikan platform-platform ini masa yang mencukupi untuk mengimplimentasi sistem tersebut menjelang suku kedua tahun hadapan.
Implimentasi sistem eKYC adalah untuk memastikan bahawa semua individu dan pengguna yang mendaftar di platform-platform ini disahkan adalah berumur 16 tahun dan keatas. Akaun-akaun mereka yang didapati berumur bawah 16 tahun boleh dibeku, dan diaktifkan semula setelah mereka melepasi had umur minima 16 tahun.
Dari segi sistem eKYC pula, Datuk Fahmi Fadzil mengatakan antara cara yang boleh digunakan untuk mengesahkan identiti termasuklah penggunaan kad pengenalan ataupun pasport yang secara lazimnya digunakan untuk mengesahkan identiti, ataupun sistem pengesahan digital MyDigitalID yang sudahpun mula digunakan untuk mengesahkan identiti pada aplikasi-aplikasi tempatan.






