iPhone 18 Sekali Lagi Diperkatakan Hanya Akan Hadir Pada 2027
Aman
Apple sedia diperkatakan ingin melakukan penyusunan semula jadual pelancaran iPhone, sekaligus memastikan semua produk dibawah mereka menerima perhatian utama pengguna. Untuk menjayakan perkara berkenaan, sebelum ini, ia diperkatakan Apple sedang melihat untuk memperkenalkan hanya model Pro pada 2026, dan seterusnya model bukan Pro pada 2027.

Terbaru, perkara sama turut ditekankan oleh beberapa laporan awal tahun ini. Dengan langkah ini, ia hanya akan melihat iPhone 18 diperkenalkan pada tahun 2027 kelak, sementara pada tahun ini kita mungkin melihat iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max diperkenalkan. Ini sekaligus turut akan memastikan cip Apple baharu digunakan pada model Pro, sebelum ia diperluaskan ke model biasa sekitar 6 bulan selepasnya.
Apple juga dikatakan sedang membangunkan telefon boleh-lipat mereka, dan tidak diketahui sama ada kita akan melihatnya bila. Untuk tahun ini, Apple menyambut ulang-tahun ke-50 sejak penubuhan syarikat, sementara iPhone pula akan menyambut ulang-tahun ke-20 pada 2027.
Sekiranya perkara ini benar, maka model iPhone 17 akan menjadi model yang akan terus dipasarkan sehingga tahun 2027 kelak oleh Apple. Kebiasaannya, Apple akan perkenal model iPhone baharu pada September, dan sama-sama kita nantikan pengenalan model berkenaan menjelang tarikh berkenaan.






