Intel Dijangka Hanya Akan Melancarkan Satu Model Cip Pemprosesan Panther Lake Tahun Ini
May 2, 2025
•
Nazrin
Intel dijangka akan memperkenalkan siri cip pemprosesan Panther Lake pada penghujung tahun ini, dan terkini, terdapat beberapa butiran baru yang telah dilaporkan mengenainya.
Sebelum ini, ia telah dilaporkan bahawa Intel akan memisahkan pelancaran cip pemprosesan Panther Lake kepada dua, pertama ialah pelancaran pada penghujung tahun ini, dan kemudiannya komputer riba yang menggunakan cip pemprosesan tersebut akan tiba pada awal 2026.
Cip pemprosesan Panther Lake akan merangkumi keseluruhan siri cip pemprosesan komputer riba yang dikuasakan Intel untuk generasi akan datang ini, dan ini bermakna bahawa siri cip pemprosesan Intel siri “U” akan kembali ke pasaran untuk komputer riba kelas nipis dan ringan.
Terkini, butiran mengenai satu model cip pemprosesan Panther Lake telah tertiris ke arena web, yang terdiri daripada empat teras prestasi, lapan teras kecekapan, dan tanpa teras kecekapan berkuasa rendah. Ia juga akan hadir dengan empat teras Xe3 (berkemungkinan besar cip grafik Celestial) dan mempunyai jumlah penggunaan kuasa elektrik 45W.

Tidak seperti cip Intel Lunar Lake, cip pemprosesan Panther Lake tidak lagi akan hadir dengan memori terbina, dan selepas ini, pembuat komputer riba akan diberi pilihan untuk memuatkan jumlah memori yang sesuai untuk komputer riba mereka.
Ia dikatakan bahawa konfigurasi cip Intel Panther Lake dengan empat teras prestasi dan lapan teras kecekapan akan diperkenalkan pada tahun ini, dengan model-model lain hanya akan tiba pada tahun hadapan. Menariknya, model ini dikategorikan dibawah siri cip pemprosesan Intel Panther Lake-H. Untuk beberapa model sebelum ini, Intel secara lazimnya akan memperkenalkan model cip pemprosesan untuk komputer riba nipis dan ringan terlebih dahulu.
Penggunaan kuasa yang lebih tinggi juga memperlihatkan peningkatan dari segi prestasi, tetapi sama ada ia akan mengekalkan jangka hayat bateri yang dinikmati komputer-komputer riba dengan cip Intel Lunar Lake tidak diketahui lagi.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.