Intel Arc Battlemage merupakan cip pemprosesan generasi kedua keluaran Intel, dan sebelum ini telah digunakan sebagai iGPU (cip grafik terbina) didalam siri cip pemprosesan Intel Lunar Lake dan sebagai kad grafik dalam model Intel Arc B580 dan Intel Arc B570.
Seperti yang sedia maklum juga, siri cip pemprosesan Intel Core 300 “Panther Lake” akan menggunakan cip iGPU Intel Xe3 yang merupakan penaiktarafan kepada cip pemprosesan grafik Intel Battlemage yang sedia ada, tetapi mungkin dengan kemaskini teras dan memori yang baru.
Terkini, ia dilaporkan bahawa Intel telah mengemaskini perisian VTune Profiler dengan sebuah nama cip grafik baru, iaitu Intel Arc BMG-G31 dan juga cip pemprosesan Intel Core Ultra 300, yang kita sudah sedia maklum bahawa ia adalah cip pemprosesan komputer riba Intel akan datang.

Jangkaan orang ramai ialah cip grafik Intel Arc BMG-G31 ini adalah komponen yang akan digunakan untuk siri kad grafik Intel Arc Battlemage yang akan dikemaskini untuk tahun 2026 dan akan hadir dengan kuasa pemprosesan grafik yang lebih tinggi berbanding penawaran Intel Arc B580 dan Arc B570 sebelum ini.
Ura-ura yang sedang dilaporkan ialah cip ini akan digunakan dalam kad grafik Intel Arc B770 dan akan tampil dengan 32 teras Intel Xe3, menggunakan 16GB memori GDDR6 dan menyokong sambungan PCIe 5.0 x16.
Jangkaan orang ramai juga ialah Intel mungkin akan memperlihatkan kad grafik ini, ataupun sekurang-kurangnya memperkenalkan cip grafik BMG-G31 ini sewaktu acara CES 2026 bersama-sama dengan pelancaran cip pemprosesan Intel Core Ultra 300.






