Instagram Kini Membenarkan Pengguna Kawal Paparan Kandungan Ikut Keutamaan
Amy Maizuraa
Instagram memperkenalkan ciri baharu yang membolehkan pengguna mengawal pengalaman mereka dengan lebih teratur melalui tab Reels.

Dengan ciri ini, pengguna bukan sahaja dapat melihat algoritma yang disusun berdasarkan minat malah mereka juga boleh menyesuaikannya supaya cadangan yang dipaparkan benar-benar relevan dengan kehendak semasa. Oleh itu, Reels menjadi lebih peribadi kerana pengguna mempunyai kawalan penuh terhadap topik yang dipaparkan.
Pengguna hanya perlu menekan ikon dua garisan yang terletak di bahagian kanan atas untuk memulakan kawalan algoritma Reels. Setelah itu, mereka dapat mengenal pasti minat utama melalui paparan ringkas topik yang dianggap paling relevan lalu memudahkan penyesuaian kandungan agar lebih selari dengan kehendak dan minat semasa.

Seterusnya, pengguna boleh menyesuaikan pilihan dengan menaip topik yang ingin dilihat lebih banyak atau dikurangkan, lalu algoritma akan berubah mengikut arahan tersebut. Selain itu, terdapat pilihan untuk berkongsi minat melalui Stories supaya kenalan mengetahui perkara yang digemari sekali gus menjadikan pengalaman menggunakan Reels lebih peribadi serta relevan.
Menariknya, ciri ini pernah diuji pada Threads namun pendekatannya berbeza kerana lebih menekankan pada interaksi perbualan berbanding penyesuaian kandungan visual seperti di Instagram.
Buat masa ini, ciri tersebut hanya dilancarkan di Amerika Syarikat dan akan diperluas secara berperingkat ke seluruh dunia. Instagram turut merancang untuk memperkenalkan fungsi ini ke tab Explore serta bahagian lain aplikasi pada masa hadapan.






