Insta360 telah menambah baik kamera aksi Ace Pro 2 dengan aksesori dan kemas kini perisian baharu bagi menjadikannya pilihan lebih menarik buat pengguna yang mengutamakan kemudahan penggunaan.

Clip-on Pocket Printer merupakan antara tarikan utama kerana ia membolehkan cetakan polaroid bersaiz 3″ terus daripada kamera ini melalui sambungan bluetooth menggunakan teknologi Polaroid Hi-Print. Dalam bahasa mudah, Insta360 Ace Pro 2 kini boleh berfungsi seperti kamera segera yang terdapat di pasaran. Sementara itu, Xplorer Grip Pro pula dilengkapi dengan kawalan pencahayaan dan fungsi zum lancar 1–2X serta bateri berkapasiti tinggi untuk rakaman yang lebih tahan lama.

Bersama pelancaran aksesori baharu, Insta360 turut memperkenalkan beberapa pakej jualan menarik seperti Xplorer Pro Bundle, Flash Print Bundle, Videography Bundle dan Ultimate Videography Bundle yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan pengguna berbeza.
Bagi meningkatkan pengalaman rakaman, kemas kini perisian versi 2.0.3 akan diperkenalkan dengan penambahan profil warna Leica, penuras filem baharu serta pilihan lensa tambahan. Gabungan ini membolehkan pengguna menghasilkan rakaman yang lebih sinematik.






