Honor Magic V6 Akan Dilancarkan Di MWC 2026
Amy Maizuraa
Musim MWC bakal tiba tidak lama lagi, dan seperti biasa ia menjadi minggu penuh dengan penawaran teknologi baharu. Berdasarkan corak sebelum ini, Honor lazimnya memperkenalkan siri Magic dalam acara berkenaan. Namun, berbeza sedikit pada tahun ini apabila mereka mengesahkan kehadiran model baharu dalam siri V iaitu telefon boleh lipat generasi seterusnya.

Maklumat ini diperoleh daripada ciapan terkini Global Consumer Comms Lead Honor Global yang memuat naik imej jemputan rasmi. Jelas kelihatan dua model baharu yang akan dibawa kali ini ialah Honor Magic V6 dan juga Honor Robot Phone yang sejak tahun lalu sudah menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan pengguna. Selain itu, Honor turut akan memperkenalkan peranti mercu serba baharu mereka sambil meneroka lebih jauh ke dalam evolusi pembangunan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Sebenarnya, Honor sudah pun hadir dengan beberapa penawaran menarik dalam bidang ini, termasuk pengenalan Alpha Plan di MWC 2025. Langkah tersebut sekaligus membuka ruang baharu untuk ekosistem mereka dan menandakan pencapaian penting dalam perjalanan Honor ke arah inovasi teknologi khususnya AI.

Beralih kepada Honor Magic V6, masih belum ada butiran rasmi mengenainya. Namun begitu, khabar angin menyatakan peranti ini bakal hadir dengan peningkatan kapasiti bateri berbanding pendahulunya. Ia juga dijangka menggunakan bateri karbon silikon 7000mAh di samping dikuasai cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 serta kamera utama 200MP.






