Hollyland Lyra Dilancarkan – Kamera Web 4K Untuk Penstriman Langsung
Amy Maizuraa
Hollyland melancarkan Lyra iaitu kamera web 4K pertama mereka yang direka untuk rakaman berkualiti tinggi. Kamera ini menggabungkan sensor CMOS (1/1.5 inci) dengan kemampuan rakaman sehingga 4K/30fps atau 1080p pada 60fps. Lyra menggunakan lensa f/1.8 bagi menghasilkan prestasi cahaya rendah yang lebih baik serta warna yang lebih tepat.

Lyra turut menyertakan penerima (receriver) mikrofon nirwayar terbina yang serasi dengan sistem LARK A1 sekali gus membolehkan rakaman audio secara terus tanpa kabel. Untuk penggunaan kendiri, Lyra merakam melalui mikrofon omnidirectional manakala teknologi AI mengurangkan bunyi latar untuk memastikan suara sentiasa jelas.


Lyra boleh melaraskan pencahayaan, kontras dan dedahan secara automatik dengan bantuan AI, selaras dengan keadaan persekitaran semasa. Selain itu, kamera ini turut mengesan subjek, memastikan kedudukan subjek berada tepat dalam bingkai serta melicinkan wajah melalui mod kecantikan.


Hollyland juga membina algoritma latar hijau ke dalam Lyra sekali gus membolehkan pengguna menukar latar belakang tanpa perlu memasang perisian tambahan. Untuk menjaga keselamatan, Lyra menyertakan penutup fizikal berputar yang boleh ditutup apabila kamera tidak digunakan.
Lyra ini dijual pada harga bermula daripada $149 (~RM616).
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






