GrabAssist Diperkenalkan Untuk Bantu Golongan Yang Memerlukan Sokongan Pergerakan
Amy Maizuraa
Grab Malaysia memperkenalkan GrabAssist iaitu perkhidmatan khas untuk penumpang yang memerlukan sokongan pergerakan dan bantuan akses. Perkhidmatan ini memberi tumpuan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas serta individu yang menggunakan alat bantuan pergerakan.

Melalui inisiatif ini, Grab berhasrat menyediakan pilihan pengangkutan yang lebih mesra serta mudah diakses khususnya bagi golongan yang sebelum ini kurang diberi perhatian. Langkah ini sekali gus memperlihatkan komitmen syarikat dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan pengangkutan yang menyeluruh.

Perkhidmatan ini melibatkan kira-kira 100 pemandu yang menerima latihan daripada penyedia penjagaan bertauliah. Latihan tersebut memberi mereka kemahiran menggunakan peralatan seperti kerusi roda dan alat bantu jalan lain di samping memastikan sokongan yang profesional. Pemandu juga akan dibekalkan dengan kit Grab Assist yang mengandungi ‘Flip Card’ untuk tujuan komunikasi sekali gus memudahkan mereka memberi bantuan dengan lebih berkesan.
Berikut adalah panduan ringkas untuk penggunaan GrabAssist:
- Buka aplikasi Grab (pastikan versi terkini).
- Pilih Advance Booking di halaman utama.
- Pilih GrabAssist dalam senarai perkhidmatan.
- Tetapkan tarikh dan masa pengambilan.
- Sahkan tempahan (Klik ‘offers’ jika ada promosi).

GrabAssist kini hanya ditawarkan di Lembah Klang dengan perancangan untuk diperluaskan ke bandar lain pada masa akan datang. Bersempena pelancaran ini, Grab turut menyediakan promosi sebanyak RM14 bagi setiap perjalanan GrabAssist dari 3 hingga 17 Disember 2025. Tawaran ini terbuka kepada pelanggan yang layak sahaja.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






