Grab Melakukan Pelaburan Strategik Pada Vay – Syarikat Teknologi Pemanduan Jarak Jauh
Aman
Grab sebelum ini sedia melabur pada dua syarikat memfokuskan kepada teknologi robo-teksi, dengan hasrat menawarkan penawarannya seawal 2026 di rantau Asia Tenggara. Tidak setakat itu, hari ini Grab turut melakukan pelaburan pada Vay.

Vay menawarkan perkhidmatan sewa kereta yang dikuasakan oleh teknologi pemanduan jarak jauh. Melalui aplikasi Vay, pengguna boleh melakukan tempahan kereta elektrik sewa, dan kereta akan dipandu menggunakan kawalan jarak jauh untuk menghantarnya kepada pengguna yang menyewanya. Sambungan seterusnya akan diputuskan apabila pengguna mula memandu sendiri kenderaan sewa tersebut. Langkah ini memudahkan pengguna mendapatkan kereta sewa tanpa perlu ke lokasi spesifik, sebaliknya kereta dihantar terus kepada pengguna.
Grab melakukan pelaburan sebanyak $60 juta, dan turut berpotensi untuk melabur $350 juta pada syarikat tersebut mengikut kepada perjanjian dan pencapaian Vay dalam tempoh tahun pertama pasca pelaburan.
CEO Grab menyatakan mereka percaya yang masa depan bergantung kepada pemanduan hibrid yang melibatkan rakan pemandu dan juga teknologi swapandu, serta perkhidmatan pemanduan jarak jauh.
Sebelum ini, Grab turut telah melakukan pelaburan pada WeRide dan May Mobility, dimana kedua-dua syarikat berkenaan memfokuskan teknologi swapandu dan pembangunan roboteksi.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






